Najib kini beban Umno dan PAS, dakwa MP PKR
Seorang ahli parlimen PKR menggesa Pakatan Harapan (PH) memanfaatkan persepsi buruk yang mungkin menjejaskan Umno susulan pengampunan bersyarat diterima bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
Menggesa PH mengambil pendekatan lebih “ofensif” terhadap parti tunjang BN itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata pengampunan bersyarat berkenaan memberikan “bola tanggung” kepada PH menjelang pilihan raya umum akan datang (PRU16).
Menurut veteran PKR itu, pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept telah “memudaratkan Umno mulai sekarang dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang”.
“Sekarang Umno-BN sudah mula berada dalam keadaan defensif. Di media sosial, rakyat sudah mula bertanya: Bila Umno mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB?” kata Hassan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/05/174cf1dccef05d553f0c5250dcc00239.jpg)
Dia merujuk usaha kutipan derma yang dilancarkan Umno bagi mengumpulkan dana untuk membayar denda RM50 juta yang perlu dijelaskan bekas presiden Umno itu sebelum dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Hassan berpandangan sejarah kepimpinan Najib dalam Umno bukanlah “sejarah gilang-gemilang” yang membawa kemenangan kepada parti itu dan BN dalam pilihan raya umum.
Dia merujuk keadaan BN yang hampir kehilangan kerajaan persekutuan pada PRU 2013, sebelum gabungan itu tumbang di Putrajaya pada 2018.
“Sebelum Najib diberi pengampunan, Anwar Ibrahim selaku perdana menteri, presiden PKR dan pengerusi PH begitu defensif. Dia dikritik secara terbuka dan juga di media sosial tidak henti-henti setiap hari.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/7316294f70667db1221afc3c1efe773f.jpg)
“Sekarang apabila Najib Razak diberi pengampunan dan lega hukum, tiba-tiba simpati kepadanya kerana merengkok dalam penjara meruap dan lesap.
“Rakyat mulai marah apabila melihat sistem keadilan negara ini ada dua darjat. Satu untuk rakyat biasa golongan marhaen dan satu lagi untuk elit politik dari kelas bangsawan,” kata Hassan.
Hassan turut mendakwa pemimpin de facto Umno kini ialah Najib dan bukan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi. Menurutnya, rakyat kini boleh menilai dua pilihan kepimpinan — Najib atau Anwar.
“Penilaian kini di tangan rakyat sendiri. Mana satu antara kedua mereka yang boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih baik?” soalnya.
Menurut Hassan, Najib kini menjadi “beban” bukan sahaja kepada Umno, malah PAS yang sejak kebelakangan ini memperjuangkan kerjasama politik dengan parti itu atas agenda penyatuan ummah.
“Bagaimana Umno dan PAS sekarang hendak bercakap mengenai kerajaan yang bersih dan amanah, yang telus, cekap dan adil apabila kini Najib telah muncul di hadapan mata rakyat sebagai satu simbol yang mencurigakan bagi sebuah kerajaan yang dikatakan the government in waiting?” soalnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/b5c4e2edf5a5dd49f6352fefe013cb4c.jpg)
