Ralat 404: Chatbot PMX Zetrix tidak ditemui
Chatbot avatar AI Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih tidak beroperasi selepas dinyahaktifkan dua bulan lalu, susulan tindakan pengguna yang berjaya membuatkan bot itu memberikan respons di luar tujuan asalnya.
Gangguan berterusan itu menimbulkan persoalan mengenai terma sebenar perjanjian antara Zetrix AI dan PKR bagi membangunkan chatbot tersebut.
Tidak banyak yang diketahui selain laporan bahawa PKR memulakan pembangunan chatbot itu, manakala Zetrix — dahulunya MyEG — membangunkan bot WhatsApp berkenaan.
Zetrix tidak mahu memberikan komen apabila dihubungi, manakala pemimpin PKR — termasuk Setiausaha Agung Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil — serta Pejabat Perdana Menteri tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk ulasan.
Malaysiakini meminta perincian mengenai terma perjanjian antara parti itu dengan syarikat berkenaan, serta sama ada terdapat sebarang bentuk pertukaran manfaat (quid pro quo).
Jurucakap dasar Bersama, Sum Dek Joe berkata pada asasnya tiada masalah jika Zetrix membangunkan chatbot AI tersebut untuk PKR.
“Bagaimanapun, Zetrix merupakan antara kontraktor utama kerajaan. Membangunkan platform untuk parti pemerintah (PKR) tanpa pendedahan yang jelas mengenai kos dan pihak yang membiayainya cenderung mengaburkan sempadan antara jawatan awam dan parti politik,” kata Sum (bawah) kepada Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/7a8f9655dec4adc6301a3bd8278e4838.jpg)
Zetrix masih menyediakan perkhidmatan elektronik berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen menerusi portal MyEG, walaupun syarikat itu tidak lagi mempunyai perjanjian eksklusif.
Menerusi MyEG, Zetrix juga merupakan pembangun Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) dengan kerjasama Mimos Berhad, yang dibangunkan berasaskan teknologi blok rantai Zetrix Layer-1.
Sistem MyDigitalID kerajaan beroperasi menggunakan MBI.
Saham Zetrix mengalami kemerosotan akibat beberapa faktor yang tidak berkaitan dengan chatbot Anwar.
Harga sahamnya menjunam pada penghujung Ogos susulan khabar angin yang mengaitkannya dengan pertuduhan rasuah terhadap bekas menteri sumber manusia M Saravanan berhubung kelulusan kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat tempatan.
Zetrix menafikan sebarang kaitan tersebut.
/file/attachments/orphans/ZetrixAIasdsdsd_308702.png)
Kejatuhan harga saham itu turut menyebabkan penjualan paksa saham yang dicagarkan oleh pengasas Zetrix, Wong Thean Soon, kepada pihak pembiaya, yang seterusnya mengekalkan harga saham pada paras rendah.
Setakat jam 11.30 pagi ini, saham Zetrix didagangkan pada harga 20 sen sesaham, berbanding 66 sen sebelum kejatuhan harga saham pada penghujung bulan lalu.
Chatbot AI Anwar dilancarkan pada 19 Julai dengan tujuan membolehkan orang ramai mendapatkan jawapan mengenai dasar kerajaan dalam nada dan gaya yang menyerupai cara perdana menteri bertutur.
Terdedah kepada manipulasi
Bagaimanapun, chatbot di WhatsApp itu didapati terdedah kepada kaedah yang membolehkan pengguna memintas sekatan yang ditetapkan bagi mengelakkan AI berkenaan daripada memberikan respons politik yang tidak sepatutnya.
Dalam satu kejadian, seorang pengguna berjaya memaksa chatbot itu menyatakan bahawa pengundi yang menyokong Anwar kerana pendiriannya menentang rasuah tidak sepatutnya mengundinya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/1646ca105f242117439800b38cd85db2.jpg)
Chatbot itu dinyahaktifkan selepas hanya sehari beroperasi dan perkhidmatannya tidak disambung semula sejak itu.
Pengguna yang menghantar mesej kepada chatbot tersebut selepas ia dinyahaktifkan menerima balasan berikut:
“Terima kasih kerana menghubungi kami. Kami sedang membuat sentuhan akhir terhadap proses naik taraf dan PMX AI akan kembali beroperasi tidak lama lagi. Sila nantikan pengumuman rasmi media.”
Bagaimanapun, pemeriksaan berkala oleh Malaysiakini mendapati kali terakhir chatbot itu menghantar balasan tersebut adalah pada 1 Sept.
Sejak itu, chatbot berkenaan tidak lagi memberikan sebarang respons terhadap mesej.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/pmxAIgeneric_534863.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.