Bersatu hari ini membidas kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) kerana menyerang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas badan pengawal selia itu memberi amaran bahawa gabungan berkenaan boleh dibatalkan pendaftarannya.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan semalam yang menuduh ROS mengeluarkan amaran berkenaan dengan niat tidak baik (mala fide) bagi mengenakan tekanan politik terhadap gabungan pembangkang itu.

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata PN tidak sepatutnya memperlekehkan pihak berkuasa berkenaan dengan membuat tuduhan berniat jahat tanpa asas dalam usaha “meraih simpati politik dan menutup kegagalan mereka”.

“ROS telah berulang kali memberi peringatan secara bertulis kepada PN supaya pertubuhan ini hendaklah menjalankan segala aktiviti pertubuhan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) dan Perlembagaan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.

Azmin berkata Bersatu membuat aduan bertulis kepada ROS pada 11 Ogos berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan PN oleh kepimpinan baharunya.

‘Kuasa veto’

Antara lain, parti itu mengadu bahawa Bersatu tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain membangkitkan isu berhubung status keahlian parti itu dalam gabungan berkenaan.

Azmin mendakwa kepimpinan baru PN melanggar Fasal 7.1 perlembagaannya dengan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberikan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.

“Bersatu juga telah mengemukakan aduan kepada JPPM mengenai kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

“Individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sering mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman dan tekanan untuk melucutkan dan/atau menggugurkan Bersatu sebagai Parti Anggota yang sah dalam Parti Perikatan Nasional.

“Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional bawah Fasal 7A1(c) Perlembagaan Perikatan Nasional,” katanya.

Semalam, Takiyuddin mengesahkan PN menerima notis daripada ROS yang memberi amaran mengenai pembatalan pendaftaran gabungan itu dalam masa terdekat dan menyifatkannya sebagai serangan bermotifkan politik.

Dia berkata PN menerima notis pembatalan pendaftaran itu pada Selasa, manakala notis supaya menghentikan aktiviti menggunakan nama gabungan berkenaan diterima pada Rabu.

Takiyuddin berkata PN akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan gabungan itu dan menghalang pembatalan pendaftarannya.

Gabungan itu mempunyai tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi kepada ROS berhubung perkara berkenaan.