Penggantungan PN: Wawasan soal kewujudan ‘tangan ghaib’
Parti Wawasan Negara (Wawasan) membantah tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung Perikatan Nasional (PN).
Menerusi satu kenyataan media hari ini, parti itu juga mempersoalkan kewujudan "tangan ghaib" di sebalik notis yang dikeluarkan serentak dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
"Parti Wawasan beranggapan tindakan ini adalah bermotifkan politik dan bertujuan menyekat PN daripada bertanding dalam PRN Negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Namun, kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan komponen PN bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu berjalan seperti dirancang," petik kenyataan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/b5cbe2297f5f23dfd96999d31e059cef.jpg)
Terdahulu, Naib Presiden Wawasan, Wan Saiful Wan Jan mengesahkan bahawa partinya dimaklumkan mengenai perkembangan penggantungan PN menerusi kenyataan Setiausaha Agung PN bertarikh sama, yang mengesahkan PN menerima dua notis daripada RoS.
Notis pertama, bertarikh 22 September, ialah Notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966.
Notis kedua pula, bertarikh sehari selepas itu, adalah Notis Perintah Penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) akta yang sama.
Sementara itu, bekas ahli majlis tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi pula menuduh unsur dalam PAS cuba mengambil kesempatan daripada penggantungan itu untuk membalas dendam terhadap bekas sekutunya, Bersatu.
"Ada unsur PAS akan balas dendam jika memerintah nanti," tulis Puad dalam media sosial, sambil mendakwa PAS sudah sesuka hati menganiaya Bersatu walaupun belum lagi berkuasa.
Dia merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menurutnya memberi amaran "ingatlah, akan tiba masa kamu pula di bawah nanti" sebagai kata-kata sebagai bernada ugutan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/9f83c30b157602abffce958f251075de.jpg)
Dia turut membandingkan pendekatan itu dengan Barisan Nasional (BN), yang katanya lebih berhemah dalam menerima komponen baru dengan mewujudkan mekanisme "Friends of BN" berbanding tindakan PAS menerima Wawasan sebagai ahli baru PN tanpa konsensus penuh.
Puad turut mengimbau sejarah politik Umno, termasuk pengharaman parti itu serta cubaan menamatkannya semasa era Pakatan Harapan (PH) pertama apabila Bersatu ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad, sebagai amaran mengenai akibat dendam politik jangka panjang.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, RoS mengambil tindakan menggantung semua aktiviti PN di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa 23 September, susulan notis yang dikeluarkan sehari sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, ketika dihubungi pemberita berkata tindakan RoS itu bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berikutan rungutan atau aduan daripada salah sebuah parti gabungan dalam PN.
/file/attachments/orphans/guru2_654974.jpg)
"Tentunya ada beberapa kepincangan yang telah berlaku dalam PN yang menyebabkan penggantungan ini dibuat oleh RoS," katanya.
Zahid turut menjangkakan parti-parti komponen PN berkemungkinan akan menggunakan lambang masing-masing untuk bertanding di Melaka atau pilihan raya umum akan datang sekiranya penggantungan itu berterusan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/0d9c1f3319d02454eb33be0ef8ae2846.jpg)
