'Saya tak tarik diri dari AIM bagi hargai usaha karyawan di belakang tabir'
Walaupun sudah berada di puncak tertinggi kerjaya seni dan dijulang sebagai Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menegaskan beliau tidak akan sesekali menarik diri daripada bertanding dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).
Beliau menjelaskan bahawa gelaran mahupun kedudukannya hari ini bukan alasan untuk “merehatkan” diri daripada pentas pengiktirafan berprestij itu bagi menghargai jasa individu di sebalik tabir, berbeza dengan tindakan yang pernah diambil bagi anugerah berasaskan populariti sebelum ini.
"Anugerah lain saya bersedia untuk tarik diri seperti yang pernah saya buat untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Tetapi untuk AIM, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana ada orang lain yang perlu saya hargai.
"Pentas AIM ialah platform terbaik untuk kita calonkan dan hargai usaha mereka di belakang tabir (yang terdiri) daripada pencipta lagu, penulis lirik, penyusun muzik hinggalah penerbit. Memang tiada alasan untuk saya tarik diri," katanya pada pemberita selepas menggondol trofi kategori Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25, malam tadi.
Mengulas mengenai lagu Pesanan Buat Diri yang diangkat sebagai Lagu Terbaik pada majlis itu, penyanyi nombor satu negara itu berkata keunikan karya berkenaan disifatkan terletak pada gabungan elemen irama asli dalam susunan muzik moden selain lirik yang kuat.
Penulis lirik lagu itu, Datuk Habsah Hassan berkata inspirasi bait-bait lirik puitis bagi lagu gubahan Aubrey Suwito itu lahir selepas beliau mendengar melodinya secara berulang kali.
"Kehidupan ini tiada yang kekal, ada masa bahagia, ada masa gembira, dan apabila tiba masa berduka, pasti ada yang akan mendahului atau ditinggalkan. Namun realitinya, kita tidak boleh terlalu bersedih dan perlu sentiasa bersedia menghadapinya," katanya.
Habsah berkata mesej itu diserap bagi memastikan setiap individu sentiasa bersedia mendepani pelbagai ujian hidup, sekali gus menterjemahkannya ke dalam bait lirik yang amat dekat dengan realiti masyarakat umum mahupun perjalanan seorang pengkarya.
Sementara itu, pemenang kategori Album Terbaik menerusi album Rehab, Aisha Retno berkata beliau amat bersyukur dan tidak menyangka menerima pengiktirafan berkenaan memandangkan persaingan sengit dengan nama-nama besar industri seperti Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Shila Amzah.
Aisha menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kebangkitan semula dan terapi peribadi buat dirinya selepas lapan tahun melangkah dalam industri muzik tanah air.
"Jujurnya ini sangat di luar jangkaan. Album ini adalah proses 'rehab' bagi perjalanan dan tragedi yang pernah berlaku dalam hidup saya sebelum ini, sekali gus menjadi simbol kebangkitan semula untuk saya terus berkarya," katanya.
Mengulas mengenai kekuatan album berkenaan, Aisha menjelaskan keunikannya terletak pada kepelbagaian genre yang ditawarkan hasil eksperimen muziknya bagi menyajikan kelainan buat semua lapisan pendengar.
Beliau berkata kejayaan itu turut menjadi platform dorongan buat pembikin muzik muda serta penghargaan buat pasukan produksinya yang bertungkus lumus di belakang tabir.
- Bernama
/file/1346/579cd8fa295a97451679f8998034ace3.jpeg)
