Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan memperdayakan Lembaga Pengarah FIC berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi projek cadangan pembangunan komersial serta nilai harga pasaran bagi 24 tanah milik FELDA, 12 tahun lepas.

Mohd Zaid Abdul Jalil, 55, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mohd Zaid didakwa sebagai CEO FIC telah memperdayakan Lembaga Pengarah itu untuk mempercayai bahawa Synergy Promenade Sdn Bhd layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek The Proposed Commercial Development On FELDA Lots In Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan tertuduh mengetahui syarikat tersebut hanya layak dilantik sebagai Project Delivery Partner–Master Planner.

Perbuatan itu telah mendorong Lembaga Pengarah FIC meluluskan pelantikan Synergy Promenade sebagai Project Delivery Partner–Master Developer bagi projek berkenaan, yang mana Lembaga Pengarah berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zaid didakwa sebagai CEO FIC telah memperdayakan Lembaga Pengarah berkenaan, dengan membuat mereka percaya bahawa nilai pasaran 24 lot tanah milik FELDA untuk membangunkan tanah secara komersial di atas lot berkenaan yang dilaporkan oleh Firdaus & Associates Property Professionals Sdn Bhd berjumlah RM330.96 juta, sedangkan tertuduh mengetahui jumlah sebenar yang dilaporkan ialah RM691.7 juta.

Anggaran awal nilai pasaran yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi semua tanah itu ialah RM180 juta dan tertuduh juga mengetahui bahawa JPPH tidak pernah memberikan anggaran awal nilai pasaran itu kepada FELDA.

Perbuatan perdayaan tertuduh itu telah mendorong Lembaga Pengarah menerima tawaran daripada Synergy Promenade berdasarkan cadangan Minimum Guaranteed Return iaitu RM500 juta atau 10 peratus daripada Gross Development Value, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, sedangkan Lembaga Pengarah berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di bilik Mesyuarat Lembaga, tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC di sini pada 16 Jan 2014 dan 29 April 2014, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Radzi Shah Ab Razak memohon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah yang mewakili tertuduh, memohon supaya jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana anak guamnya mempunyai masalah kewangan, selain memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan kes.

“Berhubung syarat tambahan oleh pihak pendakwaan supaya pasport anak guam diserahkan kepada mahkamah, pihak kami memohon izin kepada mahkamah supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selepas dia pulang dari umrah.

“Anak guam saya akan menunaikan umrah pada 4 Nov hingga 14 Nov ini dan bayaran telah dibuat sejak bulan Julai lagi,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan, serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 29 Okt untuk serahan dokumen.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FIC.

Siasatan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) adalah sebahagian daripada tujuh kertas siasatan membabitkan FELDA dan FIC, iaitu enam kertas siasatan baharu serta satu siasatan lama.

Siasatan berkenaan memberi tumpuan terhadap pembelian dan pelaburan aset oleh FELDA serta FIC antara 2010 hingga 2020, yang disyaki mempunyai unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

- Bernama