PANDUANKINI | Daripada pelbagai kelemahan dalam sistem pilihan raya Malaysia, antara yang paling mudah diukur ialah ketidakseimbangan jumlah pengundi antara kawasan pilihan raya.

Di sesetengah kawasan ada jumlah pengundi yang jauh lebih sedikit berbanding kawasan lain, menyebabkan satu undi di sesebuah kawasan membawa nilai yang jauh lebih besar berbanding satu undi di kawasan lain.

Proses persempadanan semula yang sedang berlangsung di Sarawak dilihat cuba menangani masalah itu, namun pengkritik berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengambil langkah yang mencukupi.

Berikut ialah perkembangan terkini di Bumi Kenyalang dan bagaimana angka-angka tersebut berubah.

Apa yang sedang berlaku?

Dari 1 Sept hingga 30 Sept, SPR mempamerkan cadangannya untuk mendapatkan maklum balas orang ramai. Buat pertama kalinya, pengundi boleh melihat cadangan itu melalui laman sesawang tanpa perlu pergi ke lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Jumlah kawasan parlimen tidak berubah, namun cadangan itu melibatkan banyak kawasan DUN di Sarawak.

Jumlah kerusi DUN akan meningkat menjadi 99 berbanding 82 sebelum ini. Bagi kawasan parlimen, jumlahnya kekal 10 namun ada yang akan diberi nama baru.

Apakah ketidakseimbangan pengundi dan pemberat kawasan luar bandar?

Antara prinsip utama dalam persempadanan semula ialah “satu orang, satu undi”. Maksudnya setiap undi mempunyai nilai yang sama dalam menentukan seseorang wakil rakyat.

Ini bermaksud setiap kawasan pilihan raya sepatutnya mempunyai jumlah pengundi yang lebih kurang sama. Kesamarataan sepenuhnya memang sukar dicapai, namun sedikit perbezaan boleh diterima.

Had bagi perbezaan itu berbeza mengikut bidang kuasa. Ketidakseimbangan yang melebihi had berkenaan – atau lebih daripada apa yang diperlukan dari segi pentadbiran – boleh dianggap sebagai ketidakseimbangan pengundi.

Prinsip itu termaktub dalam Fasal 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa jumlah pemilih (pengundi) di setiap kawasan pilihan raya dalam sesebuah negeri sepatutnya lebih kurang sama.

Namun, fasal itu mempunyai satu pengecualian penting dan kontroversi, iaitu “pemberat kawasan luar bandar”.

Perlembagaan menyatakan, “dengan mengambil kira kesukaran yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di kawasan pedalaman serta kekangan lain yang dihadapi kawasan luar bandar, suatu bentuk pemberat dari segi keluasan kawasan wajar diberikan kepada kawasan-kawasan sedemikian.”

Pengecualian itu bertujuan memastikan kawasan luar bandar yang kurang padat kekal kecil dan mudah diurus walaupun berdepan kekurangan infrastruktur dan kesukaran akses.

Namun, ia juga membolehkan kawasan luar bandar mempunyai jumlah pengundi yang lebih sedikit berbanding kawasan bandar, sekali gus menjadikan undi luar bandar lebih “bernilai” dan mengurangkan nilai relatif undi di kawasan bandar.

Tahap perbezaan yang dibenarkan telah berubah mengikut peredaran masa.

Ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perlembagaan membenarkan perbezaan sehingga 15 peratus daripada purata jumlah pengundi.

Pindaan selepas itu memansuhkan peruntukan tersebut, meninggalkan hanya ungkapan umum mengenai “suatu bentuk pemberat” tanpa had angka yang jelas.

Ini membuka ruang kepada kewujudan kawasan pilihan raya luar bandar yang saiznya jauh lebih kecil berbanding kawasan bandar di negeri yang sama.

Satu laporan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya pada 2012 turut mengetengahkan kelemahan itu. Laporan itu menggesa SPR melaksanakan prinsip “satu orang, satu undi” dan mengembalikan formula pemberat luar bandar.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut tidak mencadangkan sebarang angka tertentu bagi menentukan kadar pemberat yang sesuai.

Malaysiakini bertanya kepada SPR sama ada mereka telah mengambil langkah melaksanakan cadangan berkenaan atau mengguna pakai formula pemberat luar bandar.

Setakat ini, SPR masih belum memberikan maklum balas.

Bagaimana cadangan itu memberi kesan kepada ketidakseimbangan pengundi di Sarawak?

Tiada angka yang dipersetujui secara umum mengenai pemberat luar bandar. Kumpulan reformasi pilihan raya lazimnya mencadangkan perbezaan sekitar 15 hingga 25 peratus daripada purata jumlah pengundi.

Penentuan angka yang tepat penting, khususnya di Sarawak, memandangkan perjalanan ke sesetengah komuniti luar bandar boleh memakan masa berhari-hari merentasi sungai dan hutan.

Malah di sesetengah kawasan, peti undi terpaksa diangkut menggunakan helikopter.

Ambil ambil had tertinggi julat tersebut— iaitu perbezaan 25 peratus— sebagai kayu ukur.

Pada 2016 – iaitu pilihan raya pertama yang diadakan menggunakan sempadan semasa – sebanyak 34 kawasan pilihan raya didapati terlalu kecil, 20 kawasan terlalu besar, dan 28 kawasan berada dalam had yang ditetapkan.

Kawasan terkecil (Sadong Jaya) mempunyai 6,749 pengundi manakala kawasan terbesar (Pelawan) menempatkan 32,233 pengundi. Perbezaannya ialah kira-kira 4.78 kali ganda.

Cadangan 2026 menunjukkan gambaran yang bercampur-campur.

Ia akan mengurangkan jumlah kawasan yang mempunyai pengundi terlalu sedikit kepada 26, tetapi kawasan yang mempunyai pengundi terlalu ramai pula meningkat kepada 27 susulan cadangan mewujudkan 17 kerusi baru.

Jumlah kawasan yang berada dalam had perbezaan 25 peratus pula meningkat daripada 28 kepada 46.

Analisis Malaysiakini ke atas kompilasi data rasmi daripada ElectionData.my menunjukkan jurang antara kerusi terkecil dan terbesar juga semakin mengecil.

Kawasan terkecil yang dicadangkan – Pelagus – akan mempunyai 10,372 pengundi. Kawasan terbesar (Piasau) pula mempunyai 34,546 pengundi, menjadikan perbezaan itu “hanya” 3.3 kali lebih besar.

Apa masalah yang ada pada cadangan ini?

Walaupun terdapat beberapa penambahbaikan, ketidakseimbangan pengundi masih berterusan pada tahap yang melebihi kadar pemberat luar bandar yang pernah dicadangkan kumpulan reformasi pilihan raya seperti Bersih dan Tindak Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama sejurus selepas cadangan itu diumumkan, Tindak Malaysia dan Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (Rose) mengalu-alukan penambahbaikan yang dibuat, namun turut membangkitkan isu ketidakseimbangan pengundi yang masih berterusan.

“SPR pada era moden, khususnya selepas reformasi demokrasi dan peningkatan jangkaan terhadap institusi selepas 2018, sepatutnya meletakkan sasaran yang jauh lebih tinggi,” kata mereka.

Kumpulan berkenaan turut membangkitkan masalah lain, termasuk pengabaian ketara terhadap hubungan komuniti setempat, dan menyatakan sesetengah kawasan pilihan raya, seperti Demak Laut, akan mengalami ketidakseimbangan pengundi yang lebih teruk.

Apa yang berlaku selepas ini?

Tempoh untuk menyemak cadangan tersebut tamat pada jam 5 petang tadi. Selepas itu, SPR akan mengadakan siasatan tempatan untuk mendengar bantahan yang dikemukakan.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan bantahan dikemukakan oleh tiga pihak: kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, dan kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 100 orang pengundi dari kawasan pilihan raya yang terjejas.

Seterusnya, SPR akan mengeluarkan cadangan yang telah dipinda untuk mendapatkan maklum balas awam bagi pusingan terakhir sebelum mengemukakan cadangan muktamad kepada perdana menteri untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pengerusi SPR, Ramlan Harun, menyatakan SPR telah menerima 18 bantahan setakat 24 Sept.

“Bantahan yang kami terima setakat ini kebanyakannya khusus berkaitan perubahan daerah mengundi daripada satu kawasan DUN ke kawasan DUN yang lain.

“Terdapat juga beberapa bantahan berkaitan nama kawasan DUN yang dicadangkan dan sebagainya.

“Kami akan melihat serta menilai semua perkara itu dengan lebih terperinci kemudian,” kata Ramlan seperti dipetik Borneo Post.

SPR menerima bantahan melalui laman sesawangnya sehingga tarikh akhir semakan.

Untuk bantuan, sila hubungi talian semakan sempadan kawasan pilihan raya Sarawak di 082-549420 atau e-mel ke ksp@spr.gov.my.

Rose juga sedang mencari pengundi Sarawak yang bersedia menjadi pembantah.

Ramlan berkata proses itu akan mengambil masa sehingga selepas Feb 2027 untuk diselesaikan. Ini bermakna sempadan baru tidak akan siap tepat pada masanya untuk PRN Sarawak akan datang.