Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menasihatkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari supaya jangan menukar “tiang gol” susulan apa yang berlaku di Negeri Sembilan yang menyaksikan semua anggota exco negeri menyokong pengisytiharan Undang Yang Empat yang dipertikaikan untuk memecat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Dalam satu hantaran di media sosial, Loke yang mengulas kenyataan Ahmad Fadhli yang menyoal jika pemimpin DAP itu akan menerima sekiranya anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) di negeri lain dipecat daripada jawatan mereka oleh Raja tanpa kelulusan eksekutif.

“Saudara Fadhli, jangan tukar tiang gol.

“Isu pokok di sini ialah 10 exco tersebut mengangkat sumpah taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos dan kemudian membuat keputusan untuk mengesahkan proklamasi menurunkan takhta Tbaginda pada 16 September.

“Kalau tak mengiktiraf kedudukan Tuanku, mengapa sanggup angkat sumpah taat setia selepas PRN untuk membentuk kerajaan negeri?” soalnya.


Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fadhli berkata setiap perlembagaan negeri mempunyai klausa yang menyatakan bahawa anggota exco berkhidmat atas perkenan sama ada Raja negeri masing-masing, atau oleh Yang di-Pertua negeri bagi yang tidak mempunyai raja.

Justeru, cara peraturan ini ditafsirkan mestilah konsisten, dan bukan hanya dibaca dalam konteks di Negeri Sembilan atau apabila DAP tidak menyukai kerajaan negeri berkenaan.

“Jika anggota pentadbiran negeri boleh kehilangan jawatan apabila perkenan ditarik balik menurut peruntukan perlembagaan yang berkenaan, persoalannya ialah: apakah pendirian saudara (Loke) sekiranya suatu hari nanti keadaan yang sama berlaku terhadap exco kerajaan negeri yang dikuasai parti (DAP) saudara?” soal pemimpin PAS itu sambil memberi amaran bahawa situasi ini mungkin berlaku pada masa hadapan.

Menjawab soalan itu, Loke berkata DAP tidak sama sekali akan berbuat demikian.

“Ini perbuatan tikam belakang! DAP tak pernah buat benda macam ini.

“DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya lagi.

Yang di-Petuan Besar, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir

Bidasan Ahmad Fadhli terhadap Loke dibuat susulan kenyataan setiausaha agung DAP itu yang mendakwa krisis di Negeri Sembilan boleh menjejaskan agenda penyatuan Melayu antara Umno dan PAS.

Semalam Loke berkata, dia yakin Umno dan PAS tidak mampu mengekalkan naratif perpaduan Melayu-Islam susulan kemelut takhta diraja yang berlarutan di Negeri Sembilan.

Menurutnya Umno sebelum ini memberi gambaran bahawa mereka mampu menyelesaikan krisis berkenaan selepas membentuk kerajaan negeri.

Malah Loke menyifatkan kekalahan PH, yang turut menyaksikan dia tewas di kerusi Chennah yang disandangnya selama tiga penggal, sebagai "hikmah di sebalik musibah".

"Keputusan apa yang mereka buat? Mereka menurunkan pemerintah negeri (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) daripada takhta.

"Sekarang, orang Melayu di seluruh negara boleh melihat bahawa kerajaan Umno-PAS yang melakukan perkara ini. Sebab itu saya katakan DAP terselamat daripada beban ini buat masa ini.

"Dalam keadaan ini, sokongan pengundi terhadap perpaduan Melayu belum tentu dapat dikekalkan," katanya.

BN membentuk kerajaan negeri bersama PN selepas memenangi pilihan raya negeri pada 1 Ogos, dengan memperolehi 25 daripada 36 kerusi berbanding 11 yang dimenangi PH.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim

Kemelut mengenai takhta diraja Negeri Sembilan berpunca daripada proklamasi yang ditandatangani Undang Yang Empat pada 19 April yang menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti baginda.