ULASAN | ‘Perang’ peralihan undi tentukan kerajaan di Melaka
PRN Melaka kali ini mungkin tidak ditentukan semata-mata oleh jumlah undi yang dimiliki setiap parti, sebaliknya arah perpindahan undi antara PH, BN, PN dan ‘pemain baru’ seperti Bersama.
Jika berlaku persefahaman pilihan raya yang mengurangkan pecahan undi, persoalannya ialah siapa yang paling mendapat manfaat? Jika pertandingan kekal tiga atau empat penjuru, blok mana pula paling terdedah kepada kehilangan undi?
Landskap politik Melaka hari ini berbeza berbanding 2021. Ketika itu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, PH lima dan PN dua. Namun dari segi undi popular, perbezaannya jauh lebih kecil: BN memperoleh 38.4 peratus, PH 35.8 peratus dan PN 24.3 peratus.
Ia menunjukkan bahawa kelebihan kerusi tidak semestinya mencerminkan kelebihan undi yang besar. Dalam sistem first-past-the-post, perubahan kecil di kerusi marginal boleh menghasilkan perubahan besar dalam komposisi DUN.
PRN 2021 memberikan beberapa contoh jelas. Serkam dimenangi BN dengan majoriti hanya 79 undi, manakala Pengkalan Batu 131 undi. Justeru, PRN kali ini lebih tepat dibaca sebagai perang mengalihkan undi di kerusi marginal.
Kehilangan beberapa ratus undi di kawasan tertentu boleh jadi jauh lebih penting daripada perubahan ribuan undi di kerusi yang selamat.
Kemunculan Bersama pula menambah satu dimensi baru. Parti itu memilih untuk bergerak solo dan bertanding di 15 kerusi iaitu Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Telok Mas, Bemban dan Serkam.
Kehadiran Bersama membuka satu lagi pilihan kepada pengundi yang mungkin tidak selesa dengan parti sedia ada.
Namun, terlalu awal untuk mengatakan Bersama secara automatik akan memecahkan undi PH. Bersama juga menegaskan pendirian mereka untuk bergerak sendiri.
Bukan gambaran sebenar BN hari ini
Maka persoalan yang lebih penting ialah: berapa banyak undi baru yang mampu dicipta Bersama, dan berapa banyak pula yang akan berpindah daripada parti sedia ada?
/file/attachments/orphans/bersamapc144_213149.png)
Perkara ini perlu dibezakan daripada perkembangan rundingan PH dengan Bersatu. PH dilaporkan sedang mempertimbangkan membentuk kerjasama dengan parti yang mempunyai aspirasi sama, termasuk Bersatu.
Sejauh mana pula Bersama mampu membentuk kelompok pengundi tersendiri.
Undi tidak boleh dianggap sebagai aset yang berpindah secara automatik hanya kerana pemimpin parti mencapai persetujuan.
BN pula masuk dengan kelebihan psikologi berdasarkan rekod 2021 apabila memenangi 21 kerusi. Tetapi angka tersebut tidak semestinya menggambarkan kekuatan BN hari ini.
Perubahan politik selepas PRN 2021 dan keputusan PRU ke-15 menunjukkan bahawa sokongan pengundi Melaka boleh berubah dengan ketara. Oleh itu, 21 kerusi berkenaan tidak wajar dianggap sebagai ukuran mutlak kekuatan semasa.
Konsep BN Plus juga memperlihatkan keterbukaan BN untuk bekerjasama dengan pihak lain. Namun cabaran sebenar bukan sekadar menentukan siapa rakan kerjasama atau berapa banyak kerusi yang dibahagikan.
Persoalan lebih penting ialah berapa banyak undi rakan kerjasama benar-benar boleh dipindahkan kepada calon yang dipersetujui bersama. Seorang penyokong PAS, misalnya, tidak semestinya mengundi calon Umno hanya kerana kedua-dua parti mencapai persefahaman.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/11/19898d64cca5b1bb5abfb5c589658221.jpg)
Hal yang sama berlaku jika BN dan PN memilih untuk bertembung. Dalam keadaan pertandingan tiga atau empat penjuru, undi daripada kelompok yang mempunyai kecenderungan politik hampir sama boleh berpecah dan membuka ruang kepada pihak ketiga.
Tetapi jika kedua-duanya mencapai persefahaman, pecahan tersebut secara teori boleh dikurangkan. Faktor setempat, kekuatan calon dan penerimaan akar umbi akhirnya akan menentukan sama ada persefahaman di peringkat kepimpinan benar-benar mampu diterjemahkan di peti undi.
Dalam hubungan PH dan BN pula, persoalan kepercayaan menjadi lebih penting. Kedua-duanya bekerjasama di peringkat persekutuan, tetapi pengundi negeri masih boleh membuat keputusan berdasarkan identiti parti, prestasi calon dan isu tempatan.
Jika PH kehilangan undi kepada Bersama, tidak semestinya BN akan mendapat manfaat. Jika BN kehilangan undi kepada PN, tidak semestinya PH mendapat untung.
Sebahagian pengundi mungkin memilih parti ketiga, calon lain atau tidak keluar mengundi.
Perubahan kecil, kesan besar
Sebab itu, istilah “pindahan undi” lebih berguna daripada sekadar mengatakan sokongan sesebuah parti naik atau turun. Persoalan sebenar ialah: undi dari blok mana yang berpindah, pergi ke blok mana, dan di kerusi mana?
Pola ini mungkin berbeza sama sekali antara satu DUN dengan DUN yang lain.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/70d9441907f46ab4db5c9d118661eb8f.jpg)
Faktor prestasi kerajaan juga tidak boleh diketepikan. Tinjauan Merdeka Center pada Mac hingga April lalu mendapati 50 peratus responden berpuas hati dengan kerajaan persekutuan berbanding 48 peratus lagi.
Angka tersebut tidak boleh diterjemahkan secara langsung sebagai sokongan kepada PH atau BN, tetapi menunjukkan penilaian terhadap kerajaan berada dalam keadaan kompetitif. Isu ekonomi, kos sara hidup, prestasi kerajaan negeri dan kredibiliti calon berpotensi mempengaruhi keputusan pengundi.
Akhirnya, tumpuan perlu diberikan kepada kerusi marginal.
Perubahan dua atau tiga peratus undi di peringkat negeri mungkin kelihatan kecil, tetapi jika perubahan itu tertumpu di beberapa DUN dengan majoriti tipis, ia boleh mengubah keseluruhan komposisi kerajaan negeri.
Kehilangan 2,000 undi di kerusi selamat mungkin tidak membawa kesan besar; namun kehilangan jumlah yang sama di dua atau tiga kerusi marginal pula boleh menentukan siapa membentuk kerajaan.
Maka terdapat tiga aliran utama yang wajar diperhatikan dalam PRN Melaka: PH-Bersama, BN-PN dan PH-BN.
Adakah Bersama menarik undi yang sebelum ini cenderung kepada PH atau membina kelompok pengundi baru? Adakah kerjasama BN-PN benar-benar menggabungkan sokongan kedua-dua blok? Dan sejauh mana pengundi melihat PH dan BN sebagai rakan kerajaan berbanding terus membuat pilihan berdasarkan identiti parti masing-masing?
PRN Melaka akhirnya mungkin menjadi ujian terhadap sejauh mana tahaluf siyasi dan persefahaman pilihan raya mampu mengurus undi, bukan sekadar menggabungkan logo parti.
Kerjasama boleh mengurangkan pertembungan, tetapi tidak menjamin pemindahan undi 100 peratus. Parti baru pula boleh mengubah matematik pilihan raya walaupun belum memiliki banyak kerusi.
Justeru, persoalan paling penting bukan sekadar “siapa akan menang” tetapi siapa yang bakal kehilangan undi, siapa mengutip untung daripada kehilangan itu, dan di manakah perubahan tersebut cukup besar untuk mengubah keputusan.
Jawapannya hanya akan jelas apabila peti undi dibuka.
AZRIE AZEH ialah setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

