Nama Zahid tak patut dikait semula dengan LCS, kata Exco Pemuda Umno
Exco Pemuda Umno Malaysia Fadzmel Fadzil menuduh DAP cuba menjadikan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) sebagai senjata politik dengan mengheret nama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, ke dalam isu itu.
Membalas serangan pemimpin DAP, Fadzmel berkata bahawa kenyataan terbaru pemimpin DAP Lim Guan Eng yang mengaitkan perkembangan terkini projek berkenaan dengan timbalan perdana menteri itu merupakan usaha menghidupkan semula naratif lama.
"Guan Eng cuba mencampuradukkan keputusan dan perkembangan projek yang berlaku dalam tempoh lebih sedekad.
"Projek LCS telah melalui pelbagai peringkat pentadbiran, beberapa menteri pertahanan, proses semakan, siasatan, audit forensik, tindakan undang-undang dan akhirnya penstrukturan semula oleh kerajaan," katanya.
Katanya, nama Zahid dipetik semula bertahun-tahun kemudian semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan kredibiliti dia sebagai timbalan perdana menteri kerajaan perpaduan.
Fadzmel melihat perkara itu sebagai sebahagian daripada usaha tersusun DAP untuk terus menyebut nama Zahid dalam isu berkenaan.
Katanya ini termasuklan langkah Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Fadzmel yang juga setiausaha akhbar Zahid mengakui bahawa Presiden Umno itu memang pernah dikaitkan dengan LCS pada peringkat awal berdasarkan dokumen dan keputusan ketika dia menerajui Kementerian Pertahanan.
Bagaimanapun, katanya, kewujudan catatan atau arahan pada peringkat itu tidak bermakna keseluruhan projek telah diluluskan atau segala keputusan selepas itu dibuat oleh Zahid.
Dia merujuk kepada audit forensik LCS oleh Alliance IFA yang laporannya dikemukakan pada Julai 2020, dan berkata dapatannya tertumpu kepada tadbir urus, proses perolehan, pembayaran, pengurusan projek serta tindakan pihak yang terlibat dalam pelaksanaan.
"Tidak ada sedikit pun dapatan dalam audit forensik tersebut yang meletakkan Zahid sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap salah laku kewangan atau kegagalan pelaksanaan projek, walaupun laporan itu dikemukakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020.
"Jika benar segala kelemahan kewangan dan pelaksanaan projek itu berpunca daripada arahan peribadi Zahid, perkara itu pasti menjadi dapatan jelas dalam audit forensik, siasatan dan proses akauntabiliti selepas itu.
"Sebaliknya, dari tahun 2020 sehingga hari ini tiada satu pun dapatan yang secara langsung mengaitkan Zahid. Tiada!" katanya.
Dia turut menegaskan bahawa tindakan perundangan pernah diambil terhadap individu yang didakwa mempunyai tanggungjawab langsung dalam pengurusan projek itu.
Projek LCS bernilai kira-kira RM9 bilion bagi enam buah kapal untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai kontraktor.
Projek itu tersasar apabila tiada sebuah pun kapal diserahkan walaupun lebih RM6 bilion telah dibayar, seperti yang terdedah dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2022.
Pada Ogos 2022, Malaysiakini melaporkan laporan siasatan LCS yang dinyahklasifikasi menunjukkan Zahid, ketika menjadi menteri pertahanan, bersetuju dengan permintaan pihak galangan kapal untuk surat hasrat (LOI).
Laporan itu menyangkal dakwaan Zahid sebelum ini bahawa dia tidak terlibat dalam projek berkenaan.
Isu LCS turut menjadi bahan serangan terhadap BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, dan Zahid kini bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/013fb9578afbdc1da81d0b8fbecb5494.jpg)
