‘Sini boleh buat, sana tidak boleh buat’ - KPT seragamkan tatatertib universiti
PARLIMEN l Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyelaraskan peraturan tatatertib di semua universiti awam, sekaligus bagi memastikan mahasiswa tidak dikenakan layanan berbeza dalam melaksanakan hak kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman antara satu kampus dengan kampus yang lain.
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata langkah itu perlu berikutan terdapat percanggahan antara peraturan yang ditetapkan oleh universiti, termasuk mengenai aktiviti dan kritikan mahasiswa.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sesuatu perkara dibenarkan di sesebuah universiti tetapi tidak di universiti lain.
“Kita ingin melihat supaya kekangan-kekangan terhadap kebebasan mahasiswa dengan alasan-alasan yang diletakkan, termasuk dari segi peraturan tatatertib yang ditetapkan oleh setiap universiti, kita lihat ada percanggahan.
/file/attachments/orphans/MenteriPendidikanTinggiZambryAbdKadir1_399540.png)
“Ada universiti ini boleh buat, universiti ini tidak boleh buat. Kritikan di tempat ini boleh, tempat itu tidak boleh.
“Jadi ini perkara-perkara dari segi pelarasan di peringkat universiti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai komitmen KPT mengadakan libat urus dengan pelbagai kumpulan mahasiswa dalam proses penggubalan kerangka undang-undang pendidikan tinggi baharu susulan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Menurut Zambry, KPT juga telah mengambil langkah segera dengan menghentikan prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di universiti awam.
Katanya, tindakan tatatertib yang telah diambil sebelum ini berkaitan perkara berkenaan turut digugurkan, manakala kesalahan serius masih tertakluk kepada undang-undang negara.
Zambry berkata penyelarasan peraturan universiti itu akan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi baharu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/d90a5cc0ccf3ad099e37d1957487d785.jpg)
Katanya, kerajaan sedang meneliti kemungkinan menggabungkan pelbagai undang-undang berkaitan pendidikan tinggi di bawah satu kerangka One Higher Education Act.
“Seluruh aspek itu kita ambil kira dan kita pastikan supaya hal-hal yang sedemikian tidak berlaku,” katanya.
Menurutnya, kerangka baharu itu akan melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi, termasuk perkembangan politeknik serta pendidikan prauniversiti seperti matrikulasi.
Kerajaan juga mahu akta baharu itu menjadi kerangka perundangan yang mampu bertahan untuk tempoh 10, 20 malah 30 tahun akan datang, katanya.
Zambry berkata proses libat urus akan melibatkan semua kumpulan mahasiswa tanpa mengira kecenderungan politik, termasuk kumpulan yang mempunyai hubungan dengan parti politik.
Katanya, pandangan daripada semua pihak akan dikumpulkan dan diselaraskan bagi menghasilkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh.
Isu kebebasan mahasiswa dan perbezaan pendekatan universiti terhadap tatatertib mendapat perhatian susulan beberapa siri gerakan mahasiswa tahun ini.
Pada Februari lalu, lebih 30 kumpulan mahasiswa merancang mengadakan perarakan ke Parlimen bagi menuntut pemansuhan Auku, dengan mendakwa akta itu menyekat kebebasan mahasiswa serta memberikan kuasa yang terlalu luas kepada institusi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/3566bfa7485686b9c3f9f07510457b45.jpg)
Di Universiti Malaya (UM) pula, lebih 100 mahasiswa mengadakan duduk bantah pada Januari bagi membantah dasar hukuman tatatertib langsung universiti.
Mahasiswa ketika itu menuntut supaya dasar berkenaan dimansuhkan serta kerangka tatatertib dikaji semula dengan penglibatan wakil mahasiswa bagi memastikan keadilan, ketelusan dan akauntabiliti.
Kerajaan pada Ogos mengumumkan bahawa Auku akan dimansuhkan sepenuhnya, manakala KPT mengambil langkah segera untuk memperluas kebebasan bersuara, berpersatuan, berhimpun secara aman dan menguruskan aktiviti mahasiswa sementara kerangka undang-undang baharu dibangunkan.
/file/attachments/orphans/MenteriPendidikanTinggiZambryAbdKadir3_574200.png)
