Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mahu SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas berhubung dakwaan perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang melebihi had peruntukan sebanyak RM2.1 bilion bagi projek jalan luar bandar.

Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, parti itu memandang serius laporan berkenaan kerana ia menyentuh integriti pentadbiran kewangan negara serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Rasuah dan penyelewengan tidak mengenal parti atau individu. Sama ada isu dibangkitkan oleh DAP, Umno, atau sesiapa sahaja sekalipun yang mendedahkan, ia tetap wajib disiasat secara telus.

“SPRM mesti menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas. Rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan ini benar atau sebaliknya.

“Jika benar, tindakan tegas mesti diambil; jika tidak, penjelasan terbuka perlu diberikan untuk membersihkan nama pihak yang dituduh,” kata Shahrulufti dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, pemimpin BN dan Umno membidas DAP kerana membuat laporan SPRM terhadap Preiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri KKDW sekali gus menambah ketegangan antara dua parti yang menjadi sekutu dalam kerajaan Madani.

https://www.malaysiakini.com/news/886351-belanja-lebih-rm21-bilion-mp-dap-lapor-zahid-kepada-sprm

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata, data Kementerian Kewangan menunjukkan KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion; RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion; dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.

Jumlah perbezaan bagi tempoh tiga tahun itu ialah RM2.1 bilion.

Pemimpin DAP membuat laporan SPRM terhadap Zahid

Menurutnya, peruntukan KKDW bagi 2026 hampir habis digunakan menjelang Jun, menyebabkan kontraktor menghadapi kesukaran mendapatkan bayaran.

Pertikaian tercetus pada akhir Ogos apabila Ahmad Zahid menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penyaluran dana dan menggesa supaya kontraktor yang telah menyiapkan kerja dibayar segera.

Pada 2 Sept, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, menjelaskan bahawa tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW dan dana berkenaan telah disalurkan sepenuhnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 4 Sept meminta kedua-dua kementerian itu menyelesaikan perkara itu melalui perbincangan.

Pada 7 Sept, Ahmad Zahid berkata KKDW tidak akan berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan kerajaan.

Pada 30 Sept, Penasihat DAP Lim Guan Eng pula menggesa SPRM menyiasat Ahmad Zahid dan mengaitkannya dengan tindakan agensi itu dalam kes UiTM Holdings.

Sebagai tindak balas, Setiausaha Politik Ahmad Zahid, Razlan Rafii, menuduh Lim mempunyai motif politik menjelang pilihan raya negeri Melaka.

Dalam perhimpunan agung Umno bulan lalu, Ahmad Zahid memberi isyarat bahawa kesabaran parti itu terhadap peranannya dalam kerajaan perpaduan mungkin semakin menipis.

Dengan Umno dilihat semakin mendekati PAS, dia menggesa supaya pilihan raya umum ke-16 “disegerakan” dan menyatakan hasrat parti itu untuk mengambil alih semula kerajaan persekutuan dengan mandat baharu dan bukan terus menjadi rakan junior dalam pentadbiran pihak lain.

Semalam, Pengarah Komunikasi BN Selangor Armand Azha Abu Hanifah berkata jika benar mahu memperkukuhkan integriti pentadbiran negara, maka ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira parti, kementerian atau individu.

Mengulas lanjut, Shahrulufti, berkata, bahawa dana rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat politik.

“Projek jalan kampung adalah untuk kesejahteraan rakyat desa, bukan untuk menguntungkan penyokong tegar mana-mana pihak,” katanya.

Sehubungan itu, Putra mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu siasatan telus oleh SPRM terhadap semua pihak yang terlibat dalam kelulusan dan pelaksanaan projek, penjelasan rasmi kepada umum berhubung lebihan perbelanjaan berkenaan, serta jaminan bahawa projek rakyat dan hak penduduk luar bandar terus dilindungi.

Putra menegaskan pihaknya akan terus memperjuangkan ketelusan, menolak amalan rasuah, dan memastikan setiap sen wang rakyat digunakan untuk kepentingan awam dan bukannya agenda politik sempit.