Bagaimana perseteruan penyokong bola bertukar jadi kempen boikot barangan Indonesia
Perseteruan antara netizen Malaysia dan Indonesia kembali hangat, dengan episod terbaru tercetus susulan Piala Asean Fifa 2026, yang kini membawa kepada kempen boikot produk keluaran dari Indonesia.
Namun, episod terbaru ini bukan tercetus kerana keputusan perlawanan bola sepak semata-mata, yang menyaksikan Indonesia tampil sebagai juara selepas menewaskan Thailand melalui penentuan sepakan penalti di peringkat akhir.
Ia dihangatkan selepas produk penjagaan diri lelaki Kahf memuat naik hantaran di Threads yang dipercayai menyindir negara Asean lain termasuk Malaysia sebagai bukan berada di tahap yang sama dengan Indonesia.
Hantaran dengan gambar memaparkan pita amaran bertulis "hati-hati beda level" dengan suntingan bendera Indonesia diletakkan di bahagian atas, manakala bendera negara Asia Tenggara lain termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura, Laos, Myanmar, Timor Leste dan Australia diletakkan di bahagian bawah, mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kahf telah memohon maaf dan memadam hantaran itu, sambil menegaskan ia sebagai tindakan tidak boleh diterima serta tidak menggambarkan nilai hormat yang diketengahkan jenama mereka.
/file/attachments/orphans/kahfthreadpost1_348238.png)
Kahf juga menegaskan hubungan masyarakat Malaysia dan Indonesia berasaskan persaudaraan dan rasa hormat.
"Kami memohon maaf dengan ikhlas atas kekecewaan yang tercetus. Terima kasih kerana mempertanggungjawabkan kami.
"Kami faham membina semula kepercayaan memerlukan lebih daripada sekadar permohonan maaf. Kami komited meraihnya semula melalui tindakan. Kami akan jadi lebih baik," katanya di Threads.
Bukan kali pertama
Perseteruan antara netizen Malaysia dan Indonesia bukan benda baru, bahkan ia bermula sejak sekian lama termasuk membabitkan soal penderaan amah Indonesia oleh majikan di negara ini.
Bahkan, pada 2022, kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri ketika itu Hamzah Zainudin memberi jaminan bahawa isu penderaan amah tidak akan lagi berulang.
Terbaru, isu jerebu yang melanda negara sejak beberapa bulan lalu turut membawa pertikaian dalam kalangan netizen Malaysia dan Indonesia.
Namun, isu terbaru ini telah mencetuskan kepada satu gerakan yang lebih besar iaitu kempen memboikot produk dari Indonesia yang bukan sahaja membabitkan Kahf, tetapi juga beberapa produk lain Indonesia.
Gerakan boikot bukan perkara baru di Malaysia, dengan rakyat Malaysia sebelum ini telah melancarkan gerakan boikot terhadap produk yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) susulan serangan rejim Zionis terhadap Palestin.
Berjaya Food Berhad - yang mengendalikan beberapa jenama makanan dan minuman termasuk Starbucks - pada tahun 2024 melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.16 juta bagi suku kewangan ketiga berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM25.39 juta keuntungan yang diperolehnya dalam tempoh sama tahun sebelum ini, kesan daripada gerakan boikot rakyat Malaysia.
Pendapatan syarikat itu juga merosot hampir separuh, daripada RM265.85 juta kepada RM138.65 juta dalam tempoh tersebut.
Pendapatan dan kerugian sebelum cukai yang jauh lebih rendah yang ditanggung dikaitkan dengan sentimen semasa berhubung konflik di Timur Tengah, yang membawa kepada gerakan boikot oleh rakyat Malaysia ketika itu.
Bagi tempoh sembilan bulan sehingga 31 Mac 2024, syarikat itu melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM44.65 juta, berbanding keuntungan RM127.48 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatannya juga menurun daripada RM844.22 juta kepada RM599.74 juta.
/file/attachments/orphans/KahfEverydayMalaysia1_174479.png)
Sebelum itu, pada Dis 2023, McDonald's Malaysia memfailkan saman terhadap kumpulan yang menggerakkan boikot produk mereka susulan perperangan di Asia Barat.
Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR), pemilik francais McDonalds di Malaysia memfailkan saman sebanyak RM6 juta atas kerugian yang dialami oleh rangkaian makanan segera McDonalds.
Saman itu bagi menuntut jumlah kerugian hasil (RM3 juta), pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan bahan tamat tempoh (RM1.5 juta).
Pihak lain turut terheret
Jika melihat kepada situasi yang berlaku sebelum ini, solidariti rakyat Malaysia dalam isu boikot ini dijangka mampu memberi kesan kepada produk keluaran Indonesia khususnya Kahf dalam pasaran Malaysia.
Jika gagal diselesaiakan dengan cekap dan cermat, kempen boikot terbaru ini juga mungkin akan memberi kesan kepada restoran menawarkan makanan Indonesia seperti ayam penyet atau ayam gepuk.
Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali atau Jojo yang juga merupakan duta bagi produk Kahf, sebelum ini turut terkena tempias susulan polemik terbaru antara netizen Indonesia dan Malaysia ini.
Meskipun pandangannya mengundang pelbagai kritikan, Jojo berpendapat isu ini boleh diselesaikan melalui permohonan maaf oleh Kahf.
“Jelas sekali pasukan Kahf melakukan kesilapan yang agak bodoh, tapi kita semua pun pernah melakukan kesilapan. Selagi mereka meminta maaf, saya tidak mempunyai masalah dengan perkara itu,” tulisnya di Threads.
/file/attachments/orphans/JohanGhazaliddd_934679.png)
Seorang lagi duta Kahf, penyanyi dan pelakon, Alif Satar, menegaskan permohonan maaf sahaja tidak memadai untuk meredakan kontroversi membabitkan jenama berkenaan, sebaliknya kepercayaan perlu dipulihkan semula.
Alif menegaskan dia tidak pernah setuju dengan sebarang tindakan merendahkan mana-mana negara.
Berkongsi pandangan mengenai isu itu, usahawan sensasi, Aliff Syukri pula menyeru kepada orang ramai untuk terus memberi sokongan kepada produk tempatan.
Aliff menyeru rakyat Malaysia memberi fokus kepada produk tempatan yang sudah sekian lama bertapak berbanding memberi publisti percuma kepada produk dari luar.
Kesan boikot terbaru ini dijangka tidak akan sehebat gerakan boikot terhadap produk Israel.
Isu boikot terhadap produk berkait Israel adalah isu sejagat yang digerakkan oleh badan berpengaruh seperti Boycott, Divert, and Sanction for Palestine (BDS Malaysia).
Sementara dalam isu ini ia lebih kepada sentimen kemarahan dalam soal membabitkan kesukanan, bukannya sentimen agama ataupun serangan yang meragut nyawa.
Dalam satu kenyatan, Kedutaan Indonesia di Malaysia berkata ia maklum mengenai isu berkenaan dan berharap ia ditangani secara membina dan dalam semangat saling memahami.
"Kami mengiktiraf kepentingan untuk menghormati identiti nasional, nilai, dan sensitiviti masing-masing," katanya.
Tambah kedutaan itu, sebagai jiran rapat, Indonesia dan Malaysia berkongsi kepentingan bersama dalam memelihara persahabatan serta memperkukuh kerjasama ekonomi demi manfaat rakyat kedua-dua negara, termasuk melalui pemupukan hubungan positif antara komuniti perniagaan dan masyarakat kita.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/boycott1_685850.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.