BELANJAWAN 2027 | Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi projek perumahan rakyat, termasuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat (PRR) dengan pendaftaran fasa pertama dibuka mulai Isnin ini.

Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan dasar itu dibuat segera bagi membolehkan semua rakyat mengambil tindakan tanpa perlu menunggu lebih lama.

“Jumaat umum, hari Isnin boleh daftar,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Nada itu sebenarnya selalu mengingatkan orang ramai kepada ucapan Anwar semasa berceramah dan berkempen menjelang PRU ke-12 pada 2008. Ia kemudian menjadi olokan kepada pelbagai pihak khususnya selepas PH - yang dipimpin Anwar - berjaya membentuk kerajaan,

Menurut Anwar, empat projek perumahan baru akan dilaksanakan masing-masing satu di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Petang di Terengganu.

Selain itu, menurut Anwar, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion bagi membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama.

Inisiatif itu, tambahnya, dijangka memberi manfaat kepada golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sekali gus membantu mereka mendapatkan pembiayaan untuk membeli rumah.

Dalam usaha mengurangkan kos pemilikan rumah, Anwar yang juga perdana menteri turut bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik rumah pertama berharga sehingga RM500,000.

Bagi rumah berharga sehingga RM750,000 pula, katanya, pengecualian penuh diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki nilai tertakluk kepada pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

Kerajaan juga akan memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal, sebagai sebahagian usaha mencapai sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.

Dalam pada itu, kerajaan akan membangunkan Bukit Jalil sebagai Bandar Madani dengan konsep kawasan kediaman rakyat yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk sekolah vertikal.