Bajet 2027: Peminjam PTPTN bergaji RM2,500 ke bawah boleh tangguh bayaran
BELANJAWAN 2027 | Kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, berkata peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum RM50.
Menurutnya, langkah itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN.
“PTPTN ialah penyelamat anak bangsa yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Sehubungan itu, bagi tahun 2027, kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.
“Bayaran balik minimum dikenakan hanya RM50 ke atas peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam usaha menggalakkan pembayaran balik pinjaman secara teratur, kata Anwar, kerajaan turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara konsisten.
Kerajaan juga bersetuju, tambahnya, memberikan potongan cukai kepada majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja. Insentif itu meliputi bayaran balik yang dibuat mulai 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2028.
/file/attachments/orphans/PTPTN_663633.png)
Sementara itu, menurut Anwar, kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mempercepat pelaksanaan projek penginapan mahasiswa.
Katanya fasa pertama Residensi Mahasiswa Universiti Malaya dijadualkan siap pada 2031 dan bakal memanfaatkan 10,000 mahasiswa universiti berkenaan.
Selain itu, menurut Anwar lagi, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP akan melabur RM750 juta bagi projek Vista Kampus melibatkan pembinaan kediaman siswa di enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, katanya, kerajaan turut memperluas program Dapur Siswa Madani ke politeknik dan institut pendidikan guru dengan peruntukan RM20 juta.
Program itu katanya, menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga RM5.
Untuk rekod, isu PTPTN 'dekat' dengan PH kerana parti gabungan itu sering menyentuh mengenai bebanan kepada peminjam dalam kempen-kempen mereka.
Misalnya semasa PRU ke-14, PH berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi graduan yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, selain memansuhkan dasar menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka.
Bagaimanapun, penangguhan yang dijanjikan itu tidak dapat dilaksanakan apabila PH menjadi kerajaan pada 2018.
Pada Nov tahun itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, memohon maaf bagi pihak kerajaan kerana tidak dapat menunaikan janji tersebut, dengan menyatakan kekangan kewangan sebagai puncanya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/05/5494b25b0679c218a5a66301f206f5b1.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.