Ucapan "sukacita diumumkan" yang berulang kali bergema diucapkan Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, kata seorang ahli parlimen PN, membayangkan bahawa ia sarat dengan "warna politik" ketika negara semakin menghampiri PRU ke-16.

Pada masa sama, Ketua Portfolio Ekonomi PN, Syahir Sulaiman, mengingatkan apa yang digambarkan oleh perdana menteri dalam Belanjawan 2027 hari ini tidak akan memberi banyak makna.

Kata Syahir, belanjawan bernilai RM461.8 bilion itu dikhuatiri gagal membawa makna yang diharapkan terhadap ekonomi negara, sebaliknya meletakkan Malaysia dalam keadaan sama.

Dia yang juga Ahli Parlimen Bachok mendakwa, kejayaan sesebuah belanjawan tidak bergantung pada jumlah peruntukan atau pengumuman semata-mata, sebaliknya perlu disertakan dengan kejujuran politik, ketelusan pelaksanaan serta kesediaan menerima proses semak dan imbang.

Tidak kurang pentingnya, tambah Syahir, kerajaan perlu mendengar suara rakyat dan berlaku adil kepada setiap negeri.

"Tanpa reformasi yang berani dan pelaksanaan yang berkesan, Belanjawan 2027 dikhuatiri gagal melonjakkan ekonomi ke hadapan, sebaliknya sekadar mengekalkan negara dalam keadaan berlari di tempat yang sama ketika RMK13 (Rancangan Malaysia ke-13) baru sahaja bermula.

"Di sinilah letaknya ujian sebenar Belanjawan 2027, belanjawan terakhir sebelum PRU ke-16," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia menyusul selepas Anwar selesai membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang berakhir tepat jam 5.30 petang tadi.

Menurut Syahir lagi, Anwar kini berdepan dengan tiga tekanan ekonomi dan politik yang saling berkait iaitu cukai, subsidi dan undi.

Dari segi asas ekonomi, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2027 berbanding 5.3 peratus tahun sebelumnya.

Pasaran buruh dan inflasi pula, tambah Syahir, dijangka stabil masing-masing pada kadar 3.0 peratus dan 2.8 peratus.

"Namun, angka yang positif itu mesti diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.

“Persoalannya, mengapa masih ramai rakyat belum merasai manfaat pertumbuhan ekonomi yang dibanggakan kerajaan?

"Setiap ahli ekonomi dan penggubal dasar perlu menekuni permasalahan ini dengan hati terbuka,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Syahir yang juga Timbalan Setiausaha Agung PAS menambah, pembangunan inklusif yang dicadangkan kerajaan menuntut agar setiap negeri menikmati peluang ekonomi dan kemudahan asas secara saksama, tanpa bergantung pada musim pilihan raya.

Langkah meneruskan subsidi petrol dan diesel serta sumbangan tunai, katanya, dijangka memberi kelegaan sementara.

“Namun, bantuan sebegini tidak memadai untuk menyelesaikan masalah struktur seperti gaji yang rendah, kenaikan harga barangan keperluan dan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.