Keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis mendesak kerajaan dan ketua polis negara supaya tidak terus membisu, selepas peguam mereka mendedahkan senarai 21 kecederaan mengerikan yang dialami Noorizwan Zulkefly, termasuk pendarahan otak dan usus serta kecederaan parah dari kepala hingga ke kaki.

Bapa berumur 42 tahun itu meninggal dunia pada 1 Okt, selepas ditahan di ibu pejabat polis daerah Cheras.

Dalam satu kenyataan, peguam keluarga itu, Rania Aljunied dan Wan Nabilah Dina, berkata pakar patologi forensik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) merekodkan kecederaan berikut semasa pemeriksaan bedah siasat:

  • Bengkak teruk pada keseluruhan bahagian tengkorak;

  • Pendarahan menyeluruh (generalised bleeding) di dalam otak;

  • Bengkak teruk pada kawasan mata (mata lebam);

  • Luka koyakan pada kawasan mata;

  • Bengkak teruk dan luka koyakan pada kawasan telinga;

  • Bengkak pada kawasan tulang selangka;

  • Bengkak pada bahagian dada;

  • Bengkak teruk pada bahagian atas belakang sebelah kanan;

  • Bengkak teruk pada bahu kanan;

  • Bengkak teruk pada bahu kiri;

  • Bengkak teruk pada lengan kanan;

  • Luka koyakan pada pergelangan tangan;

  • Pendarahan dalaman di kawasan usus;

  • Bengkak teruk pada bahagian pinggul;

  • Bengkak teruk pada bahagian atas paha;

  • Bengkak teruk dan luka koyakan pada kedua-dua belah lutut;

  • Bengkak teruk pada bahagian betis;

  • Bengkak teruk dan luka koyakan pada kaki kanan;

  • Bengkak teruk dan luka koyakan pada kaki kiri;

  • Bengkak teruk pada tapak kaki kanan; dan

  • Bengkak teruk pada tapak kaki kiri.

Peguamnya berkata bahagian-bahagian yang mengalami bengkak teruk seperti yang dinyatakan menunjukkan pendarahan di bawah kulit apabila kulit disingkap semasa prosedur bedah siasat.

“Hal ini menunjukkan bahawa mangsa telah mengalami pukulan yang teruk,” kata mereka.


Rania dan Wan Nabilah menambah bahawa pakar patologi memaklumkan keluarga dan peguam pada 12 Okt bahawa Noorizwan meninggal dunia akibat trauma daya tumpul pada kepala.

“Secara ringkasnya, ini bermakna arwah Noorizwan telah dipukul pada keseluruhan badan dalam tempoh beberapa hari, sehingga akhirnya mengakibatkan kematiannya.

“Kecederaan yang disenaraikan di atas mengesahkan bahawa kes ini merupakan kes kematian dalam tahanan polis yang paling teruk sejak kes Kugan pada tahun 2009,” tambah mereka.

Menurut peguam-peguam itu, walaupun Noorizwan menemui ajal 13 hari lalu dalam tahanan polis dalam keadaan yang begitu mengerikan, namun sehingga kini, tiada sebarang penjelasan atau ketelusan daripada ketua polis negara, menteri dalam negeri mahupun kerajaan.

“Amat keterlaluan bahawa sehingga kini, tiada sebarang penjelasan atau ketelusan... walaupun Noorizwan menemui ajal dalam tahanan polis dalam keadaan yang begitu mengerikan, pihak polis dan kerajaan terus senyap membisu,” kata mereka.

Kedua-dua peguam itu berkata pihak keluarga juga tidak menerima sebarang perkembangan mengenai siasatan, dan pegawai penyiasat dari Bukit Aman menolak mentah-mentah permintaan untuk mendapatkan maklumat.

“Ahli keluarga tidak diberikan sebarang maklumat,” kata mereka.

Bagi pihak keluarga, peguam mendesak Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bertindak pantas dan telus bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Mengapakah tiada laporan mengenai mana-mana pegawai polis yang ditangkap, digantung tugas atau didakwa atas pembunuhan Noorizwan?

Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri

“Mengapakah Peguam Negara masih belum mengarahkan supaya kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan?” soal mereka.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa keluarga Noorizwan akan mengadakan perhimpunan aman di ibu pejabat polis Bukit Aman pada 17 Okt bagi menuntut keadilan dan jawapan.