Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Tuanku Canselor (TCC) 2026, di Bangi hari ini.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 9.30 pagi tadi disambut Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Datuk Johan Idris.

Turut berkenan berangkat ke persidangan itu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.

TCC 2026 yang berlangsung dua hari bermula hari ini dianjurkan oleh Fakulti Undang-Undang UKM dan disertai 121 pembentang dari seluruh dunia.

Persidangan itu mengangkat tema utama “Kedaulatan Undang-Undang dan Tadbir Urus Baik di ASEAN dan Peringkat Antarabangsa”.

Sementara itu, Sufian dalam sembah ucapan berkata TCC 2026 menyediakan platform bagi meneroka bagaimana prinsip undang-undang dapat diperkukuh di rantau ini yang semakin penting, serta bagaimana Malaysia boleh menerajui perbincangan berkenaaan di Asia Tenggara.

“Dengan tema Kedaulatan Undang-undang dan Tadbir Urus Baik di ASEAN dan Peringkat Antrabangsa, persidangan ini mengetengahkan kepentingan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus baik dalam membina institusi yang telus, berdaya tahan dan dipercayai, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

“Persidangan ini juga memberi peluang untuk bertukar idea dan meneroka bagaimana prinsip ini dapat dipertahankan dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

- Bernama