PARLIMEN l Kerajaan kekal dengan pendirian bahawa tiada bukti kukuh mengaitkan syarikat perladangan Malaysia dengan kebakaran di Indonesia yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, meskipun terdapat dakwaan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata penelitian oleh kementeriannya setakat ini tidak menemukan bukti kukuh yang mengesahkan syarikat Malaysia bertanggungjawab terhadap kebakaran berkenaan.

“Berdasarkan penelitian setakat ini, belum terdapat bukti kukuh yang mengesahkan penglibatan syarikat perladangan berkaitan Malaysia sebagai pihak yang menyebabkan kebakaran berkenaan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat hari ini.

Pendirian itu selari dengan kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, yang menegaskan tiada syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia.

Noraini berkata pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran yang dikesan tidak bermula di ladang milik syarikat Malaysia, sebaliknya merebak dari kawasan lain.

Kenyataan itu susulan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi), bahawa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan Malaysia terbabit dalam kes kebakaran hutan dan tanah di Indonesia bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menurut laporan analisis pemetaan Walhi bertajuk Who Are Behind the Fires?, data satelit merekodkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan hampir 50 peratus daripadanya berada dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.

Antara wilayah mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi termasuk Kalimantan Barat iaitu 9,529 dan Kalimantan Tengah sebanyak 7,141 yang mengakibatkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Sementara itu, Arthur berkata Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan tidak menyediakan mekanisme khusus bagi tuntutan pampasan antara negara.

“Perjanjian ASEAN mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan pada masa ini tidak memperuntukkan mekanisme khusus bagi tuntutan pampasan antara negara,” katanya.

Bagaimanapun, Arthur berkata kerajaan terbuka untuk meneliti mekanisme perundangan lain yang bersesuaian, tertakluk kepada asas undang-undang antarabangsa.

Dia berkata Malaysia juga telah menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam bentuk aset pemadaman kebakaran dan tenaga kerja, namun sebarang penugasan memerlukan persetujuan Indonesia serta perlu menghormati kedaulatan negara itu.

“Setakat ini kita masih lagi bersedia untuk menawarkan bantuan tersebut,” katanya.