Mengapa bukan kes bunuh? Rayer persoal siasatan kematian Noorizwan
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mempersoalkan keputusan polis menyiasat kematian Noorizwan Zulkefly, 42, ketika dalam tahanan di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan dan bukannya sebagai kes bunuh.
Menurutnya, kematian Noorizwan sepatutnya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berkaitan kesalahan membunuh, terutama apabila polis masih belum memperoleh laporan bedah siasat lengkap untuk mengesahkan punca kematiannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, semalam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah bagi memeras pengakuan atau memaksa pemulangan harta benda.
“Jika laporan bedah siasat lengkap masih belum diperoleh dan punca kematian juga belum diketahui, bagaimana polis boleh tergesa-gesa mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan?
“Kecederaan yang dialami Allahyarham Noorizwan jelas memerlukan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bukannya Seksyen 331 Kanun Keseksaan,” kata Rayer dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Peguam yang mewakili keluarga Noorizwan sebelum ini turut menggesa Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, mengarahkan kematian lelaki itu disiasat sebagai kes bunuh.
Kecederaan akibat objek tumpul
Dalam kenyataan malam tadi, Kumar berkata pengelasan kes di bawah Seksyen 331 dibuat berdasarkan keterangan pakar perunding perubatan forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang menjalankan bedah siasat.
/file/attachments/orphans/1312412312312_526005.png)
Menurutnya, pakar itu mengesahkan terdapat kecederaan luaran pada beberapa bahagian tubuh Noorizwan. Corak kecederaan berkenaan juga konsisten dengan trauma akibat objek tumpul dan bukan kecederaan yang dilakukan sendiri.
Kumar turut berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang bertanggungjawab menjaga Noorizwan sepanjang dia ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Bagaimanapun, Rayer menegaskan pegawai penyiasat yang terbabit secara langsung dalam kes itu perlu dikenal pasti dengan jelas dalam kertas siasatan.
Dia turut menggesa anggota polis yang terlibat digantung tugas, khususnya pegawai penyiasat dan pasukan risikan yang menjalankan soal siasat terhadap Noorizwan.
“Anggota yang terlibat dalam perkara ini mesti digantung tugas, khususnya pegawai penyiasat dan pasukan risikan yang ditugaskan menjalankan soal siasat terhadap Noorizwan,” katanya.
Noorizwan dilaporkan mengalami 21 kecederaan sebelum meninggal dunia pada 1 Okt, selepas ditahan di lokap IPD Cheras selama hampir 10 hari.
Keluarga desak siasatan menyeluruh
Bukit Aman mengambil alih siasatan selepas keluarga Noorizwan meminta campur tangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang kemudian mengarahkan Ketua Polis Negara meneliti kes itu.
/file/attachments/orphans/image1_394035.jpeg)
Sebelum itu, polis tidak memberikan maklum balas terhadap bantahan keluarga mangsa di luar Bukit Aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Lawyers for Liberty (LFL) mendedahkan gambar kecederaan Noorizwan kepada umum. Seminggu kemudian, kumpulan itu memaklumkan bahawa beberapa pakarnya dalam bidang undang-undang sedang disiasat berhubung dakwaan menekan pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz supaya mendedahkan gambar berkenaan.
Siasatan terhadap mereka itu dikritik bekas Timbalan Menteri Undang-undang, Ramkarpal Singh, yang memberi amaran bahawa tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai usaha menakut-nakutkan peguam yang menjalankan tugas mereka.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/rayer1_549498.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.