Muhyiddin 'sokong' subsidi warga asing: MCMC masih tunggu keputusan AGC
PARLIMEN | Lebih setahun selepas siasatan bermula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung dakwaan Muhyiddin Yassin menyokong subsidi RON95 untuk warga asing.
Dakwaan itu dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dinafikan presiden Bersatu berkenaan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (PH-Kulai) memberitahu Dewan Rakyat hari ini kes itu sudah dirujuk kepada AGC.
“Kita merujuk kes itu kepada AGC (dan) kita masih menunggu keputusan daripada AGC,” katanya tanpa memperincikan bila rujukan dibuat atau hasil siasatan.
Teo menjawab soalan tambahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang meminta penjelasan mengenai status siasatan selepas lebih setahun perkara itu dibangkitkan.
“Sama ada betul Pagoh (Muhyiddin) sebut atau tidak? Sampai sekarang saya tunggu macam pungguk rindukan bulan untuk jawapan itu,” kata Rosol.
Pada 6 Ogos 2025, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan arahan Anwar kepada MCMC untuk menyiasat perkara itu susulan penafian Muhyiddin terhadap dakwaan mengenai subsidi RON95.
Muhyiddin turut mencabar Anwar mengemukakan bukti kenyataan yang didakwa dibuatnya.
MCMC kemudian menjelaskan Muhyiddin dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan kandungan sebuah video TikTok yang mengaitkannya dengan dakwaan tersebut.
Menurut suruhanjaya itu, fokus siasatan ketika itu untuk mengesahkan konteks kandungan video dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap Muhyiddin.
Semakan Malaysiakini ketika itu mendapati cara maklumat disampaikan dalam video berkenaan menyerupai format tajuk berita palsu yang dikongsi di media sosial.
Pada 14 Ogos 2025, Anwar menjelaskan MCMC diminta mengesahkan sumber maklumat yang dirujuknya, bukan menyiasat Muhyiddin.
Dia turut menyatakan kesediaan meminta maaf jika tiada sumber yang sahih, tetapi mahu menunggu hasil siasatan MCMC terlebih dahulu.
Anwar turut berhujah Muhyiddin juga patut meminta maaf atas pelbagai serangan terhadap kerajaan.
56,304 kandungan diturunkan
Sementara itu, Teo berkata MCMC mengemukakan lebih 65,000 permohonan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian untuk menurunkan kandungan yang memudaratkan dan mengandungi maklumat palsu antara 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 56,304 kandungan diturunkan berdasarkan penilaian aduan, garis panduan komuniti platform dan peruntukan undang-undang yang terpakai.
Dalam tempoh sama, MCMC menyiasat 546 kes melibatkan kandungan palsu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Teo turut memaklumkan jumlah denda bagi kes yang diputuskan mahkamah mencecah RM75,500.
Mengulas angka itu, Rosol mengandaikan permohonan penurunan turut melibatkan hantaran individu seperti Jorjet Myla, penulis blog Wan Azri Wan Deris atau Papagomo, serta aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Dia kemudian mempersoalkan pihak yang menentukan sesuatu kandungan sebagai berita palsu dan menekankan keperluan mekanisme semak dan imbang supaya MCMC tidak “menyekat kritikan sah orang awam terhadap kerajaan”.
Menjawab persoalan itu, Teo berkata MCMC menilai aduan yang diterima daripada orang awam atau agensi kerajaan, manakala penyedia platform menjalankan semakan mereka sendiri.
“Disebabkan itu, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tidak semua permohonan daripada MCMC sebenarnya diturunkan - hanya 86 peratus daripada kandungan atau permohonan yang dikemukakan oleh MCMC dipadamkan,” katanya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/e9f3c5654ba9fea65f21ef852ab17a7c.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.