Pindaan Akta 732 sekat majikan turunkan kelayakan jawatan demi elak bayar gaji minimum
PARLIMEN l Majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan klasifikasi jawatan berdasarkan kelayakan pendidikan pekerja bagi mengelak pembayaran gaji permulaan yang ditetapkan, sekiranya pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dilaksanakan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pindaan itu akan memasukkan elemen kelayakan tahap pendidikan bagi membolehkan penetapan gaji minimum graduan diwajibkan pada masa hadapan.
“Apabila elemen ini dimasukkan, maka pihak majikan tidak boleh dengan senang atau sewenang-wenangnya menidakkan jawatan berdasarkan kelulusan (kelayakan) pekerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang membangkitkan kebimbangan bahawa majikan mungkin menurunkan syarat kelayakan jawatan daripada peringkat ijazah kepada diploma atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengelak membayar gaji permulaan yang ditetapkan untuk graduan.
Wan Razali juga bertanyakan adakah kerajaan mengambil langkah mengadakan libat urus dengan institut pengajian tinggi awam dan swasta agar program yang ditawarkan, bersesuaian dengan tuntutan pasaran kerja.
Menjawab perkara itu, Khairul Firdaus berkata Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menilai keberkesanan program latihan melalui beberapa aspek, termasuk kesesuaian standard dan kandungan latihan dengan keperluan industri, penggunaan lebih 2,000 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) sebagai asas pembangunan kurikulum serta penglibatan industri dalam pelaksanaan latihan.
Penilaian turut mengambil kira keseimbangan teori dan praktikal, latihan di tempat kerja, peningkatan kemahiran dalam teknologi baharu serta keupayaan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan tugas dan teknologi semasa.
Menjawab soalan berhubung bilakah pindaan Akta 732 akan dibentangkan bagi mewajibkan pelaksanaan gaji permulaan RM2,500, yang dibangkitkan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), beliau berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang mengemas kini garis panduan gaji pokok permulaan berdasarkan Kerangka Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).
Beliau berkata garis panduan itu akan diterbitkan bersama pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa mulai Jun 2027, merangkumi gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separuh mahir seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/da66cc4d17159787e752faa330a31f19.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.