Rosmah cabar tuntutan RM67.5 juta firma barang kemas Lubnan
Global Royalty Trading SAL mungkin bersedia untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat barangan kemas itu tetapi firma yang berpangkalan di Lubnan berkenaan diberi amaran bahawa usaha tersebut bakal menemui jalan buntu.
Isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu menegaskan bahawa sebarang percubaan untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membuat pembayaran akan ditentang habis-habisan.
Dalam satu kenyataan hari ini, peguamnya daripada Tetuan Reza Rahim & Rajivan berkata Rosmah mengarahkan mereka untuk menjelaskan bahawa sebarang langkah menguatkuasakan atau melaksanakan penghakiman itu "akan ditentang habis-habisan oleh anak guam kami".
"Anak guam kami konsisten mempertahankan bahawa tuntutan Global Royalty Trading SAL terhadapnya tidak berasas dan justeru tiada sandaran dari segi fakta mahupun undang-undang," kata mereka.
Mereka menambah Rosmah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, dengan pendengaran di Mahkamah Rayuan dijadualkan pada 25 Mac 2027.
Dengan rayuan yang masih belum diputuskan, peguamnya berhujah bahawa sebarang percubaan untuk menguatkuasakan penghakiman pada masa ini adalah terlalu awal.
Namun Global Royalty dilihat bersedia untuk menguji pendirian itu.
Semalam, peguam syarikat berkenaan, David Gurupatham, memberitahu media bahawa anak guamnya akan bertindak menguatkuasakan keputusan tersebut.
Semasa ditanya sama ada prosiding kebankrapan boleh menyusul jika Rosmah terus enggan membuat pembayaran, Gurupatham menjawab: "Ya."
Pada 10 Jun, hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon mendapati Rosmah bertanggungjawab atas kegagalan memulangkan 43 barang kemas yang diserahkan kepadanya atas dasar konsainan dan memerintahkannya membayar RM67.5 juta.
Pada 12 Ogos, pesuruhjaya kehakiman Marianne Antoinette Ghani membenarkan penangguhan bersyarat kepada Rosmah sementara menunggu rayuannya dilupuskan.
Syarat berkenaan menghendakinya memasukkan penuh jumlah penghakiman ke dalam akaun pemegang amanah bersama yang dipegang oleh peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan.
Rosmah kemudiannya memohon penangguhan tanpa syarat daripada Mahkamah Rayuan, namun permohonan itu ditolak pada 23 September.
Mahkamah rayuan turut memerintahkan dia membayar kos RM30,000 dan memutuskan bahawa Global Royalty bebas mengambil langkah menguatkuasakan penghakiman.
Menurut Gurupatham, Rosmah masih belum memasukkan wang RM67.5 juta berkenaan.
Pertikaian itu berpusat pada 44 barangan kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, yang menurut Global Royalty telah dihantar kepada Rosmah untuk diperiksa pada Februari 2018.
Hanya satu daripada 44 barang kemas berjaya ditemui semula, manakala keberadaan 43 lagi menjadi subjek saman berkenaan.
Rosmah berhujah bahawa barangan kemas berkenaan disita semasa serbuan polis berkaitan siasatan 1MDB pada 2018. Namun Mahkamah Tinggi turut menolak tuntutan pihak ketiganya terhadap ketua polis negara dan kerajaan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/rosmah12_325531.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.