Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan tidak akan membawa perubahan bermakna kepada petugas kesihatan sekiranya badan itu tidak diberikan kuasa sebenar untuk menyelesaikan masalah kekurangan petugas, jawatan tetap serta skim saraan.

Ahli Dewan Negara, Senator Dr RA Lingeshwaran, berkata dia kecewa dengan langkah Kementerian Kesihatan menubuhkan suruhanjaya berkenaan, meskipun badan itu tidak mempunyai "kuasa".

"Sejak 2023, saya telah memperjuangkan penubuhan suruhanjaya ini. Jika kuasa penting masih terletak di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan, apakah gunanya suruhanjaya ini?

"Suruhanjaya ini tidak sepatutnya hanya menjadi badan yang menguruskan isu sumber manusia. Skopnya mesti lebih luas dan selari dengan agenda reformasi Kertas Putih Kesihatan.

"Ia perlu menangani perancangan tenaga kerja, kekurangan petugas, jawatan tetap, perkembangan kerjaya dan kebajikan seluruh warga kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan komitmen untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

Bagaimanapun, badan itu tidak mempunyai kuasa seperti mana diharapkan warga kesihatan.

Sejak 2023 Kumpulan doktor kontrak, Hartal Doktor Kontrak (HDK), menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan.

Kumpulan itu berkata suruhanjaya berkenaan akan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pekerjaan pekerja penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Sebagai doktor dan bekas Pengarah Hospital, saya memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh petugas kesihatan. Mereka memerlukan penyelesaian, bukannya sekadar pengumuman,” tegas Lingeshwaran.

Sehubungan itu, Lingeshwaran menggesa Dzulkefly memastikan suruhanjaya berkenaan diberikan mandat dan kuasa sewajarnya sebelum ia ditubuhkan.

Katanya, wang dan masa rakyat tidak perlu dibazirkan bagi menubuhkan sebuah badan yang hanya kelihatan gah pada nama, tetapi tidak mampu membawa perubahan terhadap masalah yang sekian lama membelenggu petugas kesihatan.

“Warga kesihatan memerlukan reformasi sebenar, bukan suruhanjaya yang tidak bergigi," katanya lagi.