Adun Ba’kelalan Baru Bian hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan saman difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadapnya bagi menuntut ganti rugi RM10 juta atas dakwaan melanggar syarat bon apabila keluar daripada parti itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas menolak permohonan Baru, 68, untuk membatalkan saman berkenaan dan mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya daripada mendengar dan memutuskan tuntutan PKR terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan bekas anggota parlimen Selangau itu membayar kos RM4,000 kepada PKR.

Dalam permohonan itu, Baru Bian berkata beliau menandatangani bon berkenaan di Kuching pada 25 April 2018 dan penglibatannya dengan PKR hanya tertumpu di Sarawak.

"Tindakan plaintif (PKR) terhadap saya jika sekalipun dibuktikan benar, tidak berbangkit di Semenanjung Malaysia. Tuntutan itu berbangkit di Sarawak," katanya dalam permohonan itu.

Baru Bian antara 16 bekas anggota parlimen dan Adun yang disaman Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bagi pihak PKR atas dakwaan melanggar syarat bon RM10 juta yang ditandatangani bersama parti itu.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Mohd Rashid Hasnon, Saifuddin Abdullah dan R. Santhara Kumar.

Selain itu, Abdul Yunus Jamhari, Azman Nasrudin, Afif Bahardin, Chong Fat Full, Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim turut dinamakan sebagai defendan.

Dalam saman difailkan secara berasingan pada 19 dan 27 Feb lepas, PKR mendakwa di bawah klausa operatif bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar kepada parti RM10 juta dalam tempoh tujuh hari, selepas berlakunya mana-mana peristiwa termasuk defendan meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Plaintif mendakwa melantik setiap defendan sebagai calon untuk bertanding pada PRU14 dan berjaya meraih beberapa kerusi Parlimen dan DUN, seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan serta beberapa kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, pada 24 Feb 2020, setiap defendan berhenti menjadi ahli parti selepas dipilih di bawah panji-panji parti. Mereka juga menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain PKR," menurut PKR dalam pernyataan tuntutan itu.

PKR memaklumkan pada 11 Mac 2020 parti memutuskan untuk menamatkan keahlian setiap defendan serta-merta dan satu sijil bertarikh 16 Mac 2020 dikeluarkan bagi mengesahkan keahlian setiap defendan ditamatkan serta menuntut setiap defendan membayar bon RM10 juta, namun mereka gagal berbuat demikian.

- Bernama