Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur didakwa menghina polis yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah dalam kenyataan hari ini berkata suspek yang bekerja sendiri dan berkahwin itu ditahan di hadapan Menara Seri Wilayah P2a, Putrajaya semalam.

Beliau berkata pihaknya menerima satu laporan pada 25 Okt berhubung hantaran dimuat naik oleh pemilik sebuah akaun Facebook.

“Hantaran itu memaparkan karikatur dua lelaki berpakaian seragam polis mengenakan solekan dan membawa beg tangan wanita di hadapan sebuah lapangan terbang dengan ayat 'tak tau nak nangis ker or nak gelak’,” menurut kenyataan itu.

Adzli berkata polis merampas satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran itu.

Beliau berkata polis menerima 38 laporan dari pelbagai negeri dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Adzli berkata polis memperoleh perintah reman selama dua hari bermula hari ini daripada Mahkamah Majistret Langkawi terhadap suspek untuk siasatan lanjut.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan, melanggar undang-undang atau cuba mencetuskan provokasi sehingga menggugat keselamatan negara.

- Bernama