Ridhuan Tee Abdullah, Zamri Vinoth dan S Chandrasegaran. Tiga nama itu disebut di Dewan Rakyat ketika ahli Parlimen DAP RSN Rayer menuduh mereka mengapi-apikan sentimen perkauman.

Ridhuan seorang ahli akademik, Zamri pendakwah Islam manakala Chandrasegaran, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra, personaliti media sosial yang baru memeluk Islam.

Namun, Rayer turut mengetengahkan tiga nama lain.

Dia menyebut bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat, mendiang bekas pengerusi DAP Karpal Singh, yang potretnya menghiasi latar profil WhatsApp Rayer; serta bekas penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Saya rasa kalau mereka boleh dididik membaca buku-buku yang diterbitkan, terutamanya tentang kehidupan Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang merupakan seorang negarawan yang menjadi idola saya.

"Saya percaya kita boleh cuba untuk merapatkan lagi perpaduan di antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya.

Ahli Parlimen Jelutong itu mencadangkan Putrajaya menerbitkan buku, majalah dan rencana untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan perpaduan negara.

Cadangan itu bertujuan mengetengahkan tokoh teladan kepada mereka ketika retorik perkauman dilihatnya semakin meningkat.

“Kalau buku-buku berkenaan dengan kerjaya beliau, kehidupan beliau diterbitkan, dan diedarkan kepada sekolah-sekolah.

"Saya rasa kita boleh mendidik anak-anak bagaimana kita boleh mengajar mereka tentang perpaduan,” katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 oleh Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Ini bukan kali pertama Rayer mengemukakan cadangan tersebut.

Pada 2023, dia mencadangkan penerbitan seumpama itu, dengan berhujah usaha berkenaan boleh menangkis dakwaan pemimpin DAP komunis, selain mengetengahkan sumbangan Nik Aziz.

Walaupun DAP menerbitkan beberapa buku mengenai tokoh berkenaan, belum ada yang mendapat dukungan rasmi kerajaan.

Menjawab Rayer, Aaron berkata penerbitan buku mengenai tokoh yang disebut ahli Parlimen itu akan “dilaksanakan dalam masa terdekat”, sambil menambah cadangan tersebut sudah berada dalam agenda kementeriannya.

Menteri itu tidak memberikan butiran lanjut, tetapi menegaskan kementeriannya kerap menganjurkan program memperingati sumbangan negarawan dari seluruh Malaysia.

Nik Aziz, yang dikenali sebagai Tok Guru, menggabungkan ajaran agama konservatif dengan pendekatan politik pragmatik, sekali gus membantu membentuk PAS dan memperluas daya tarikannya melangkaui kelompok penyokong tradisinya.

Dia meninggal dunia pada 2015.

Karpal, yang digelar “Harimau Jelutong”, pula seorang peguam disegani dan antara pemimpin DAP paling dikenali.

Mendiang memegang jawatan pengerusi kebangsaan DAP dari 2004 hingga 2014, sebelum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada April tahun berkenaan.

Lim pula antara tokoh yang paling lama berkecimpung dalam politik Malaysia, setelah menyertai DAP pada 1966 dan memasuki Parlimen pada 1969.

Selepas lebih lima dekad dalam politik, dia bersara daripada politik aktif pada 2022, setelah menyaksikan perjalanan DAP daripada parti pembangkang hingga menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan.