Menteri: Pelarian pegang kad DPP dibenar kerja secara bersyarat
Pemegang kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang sah akan mendapat akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal menerusi program kerajaan itu.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah yang berulang kali disarankan pertubuhan hak asasi dan kumpulan perniagaan itu akan membantu Malaysia mengurangkan pengambilan pekerja asing dari luar negara.
Perkembangan itu berlaku ketika sentimen kebencian kaum terhadap pelarian di Malaysia, khususnya etnik Rohingya, meningkat sejak beberapa bulan lalu susulan kempen penyebaran maklumat palsu yang mendakwa komuniti tertindas itu menuntut tanah dan hak istimewa.
Permusuhan itu turut melangkaui ruang maya apabila sekumpulan pelarian Rohingya didakwa diusir dari penempatan mereka oleh penduduk tempatan di Pulau Pinang.
/file/attachments/orphans/image63_221761.jpeg)
Saifuddin berkata kebenaran bekerja itu juga akan melindungi pelarian daripada terjebak dalam ekonomi gelap atau dieksploitasi sindiket.
“Bagi mengelakkan pelarian terjerumus ke dalam ekonomi gelap (shadow economy) atau dieksploitasi oleh sindiket, kerajaan memberikan pemegang DPP akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal.
“Kebenaran bekerja ini sebagai pengganti (substitution) kepada kemasukan pekerja asing baharu dari luar negara selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk mengurangi ketergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing.
“Selain itu, kemahiran dan pengalaman bekerja yang dimiliki oleh pemegang DPP akan membuka peluang yang lebih baik untuk mendapat penempatan ke negara ketiga melalui laluan pelengkap (complementary pathway),” katanya pada jawapan bertulis parlimen semalam.
/file/attachments/886/image37_376542.jpeg)
Saifuddin tidak memperincikan sektor pekerjaan yang akan dibuka kepada pemegang DPP.
Namun, dia menegaskan semua perkhidmatan sosial yang disediakan kepada pelarian di bawah program itu, termasuk akses kesihatan dan pendidikan, tidak akan mengambil kemudahan yang kerajaan sediakan untuk rakyat tempatan.
“Perlu juga ditekankan yang semua perkhidmatan sosial kepada pelarian DPP yang disediakan oleh kementerian dan agensi terlibat termasuk akses kesihatan dan pendidikan tidak akan mengambil kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan kepada rakyat tempatan.
“Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan kepada pelarian DPP hanya akan diberikan secara berinsurans atau berbayar tanpa subsidi kerajaan bagi melindungi fasiliti kesihatan awam.
/file/attachments/orphans/SaifuddinNasutionIsmailsdfasds_358425.png)
“Akses pendidikan dan latihan asas turut disediakan kepada kanak-kanak pelarian bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kegiatan jenayah jalanan, eksploitasi, atau ancaman sosial tetapi melalui institusi pendidikan swasta,” katanya.
Saifuddin menjawab soalan bekas menteri sumber manusia yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar mengenai kerangka strategik jangka panjang kerajaan untuk menguruskan pelarian Rohingya.
Pada 2016, kerajaan memaklumkan sedang melaksanakan projek rintis bagi membolehkan 300 pelarian Rohingya pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerja di negara ini.
Namun, projek itu dihentikan tiga tahun kemudian, dengan laporan UNHCR Malaysia pada 2019 dan ringkasan dasar Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dilaporkan menemukan kelemahan dalam pelaksanaannya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/75e63ec641b571525aa2fa6c1aca908f.png)
Antaranya, projek itu didapati kurang telus, melibatkan komunikasi terhad dengan komuniti pelarian serta gagal memadankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai.
DPP, yang dilancarkan pada 1 Januari tahun ini, merupakan sistem pendaftaran dan pengenalan pelarian yang dikendalikan kerajaan.
Fasa pertamanya terhad kepada individu yang ditahan di depot tahanan imigresen.
Saifuddin semalam berkata sebanyak 4,008 tahanan direkodkan sebagai individu yang berpotensi diberikan perlindungan sementara di negara ini sebagai pelarian.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/168f5c740cfed4f3f694dffc151388a2.jpg)
Bagaimanapun, kelayakan mereka tertakluk kepada hasil tapisan keselamatan dan proses penentuan status pelarian oleh kerajaan.
Individu yang disahkan berstatus pelarian akan diberikan kad DPP, yang merupakan pas khas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut menteri itu, kad berkenaan menjadi satu-satunya dokumen yang kerajaan iktiraf untuk pelarian dan membolehkan mereka tinggal di Malaysia sementara menunggu penyelesaian akhir status mereka.
Saifuddin berkata tiga kemungkinan bagi pelarian pemegang DPP merangkumi penempatan semula di negara ketiga, pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan, atau pengusiran jika mereka melakukan jenayah atau melanggar syarat pas DPP yang kerajaan tetapkan.
Katanya, pergerakan pemegang kad DPP juga dikawal mengikut zon geografi, dengan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran khas Jabatan Imigresen.
Kad DPP perlu diperbaharui setiap tahun, manakala kebenaran tinggal sementara itu tidak meliputi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Untuk rekod, Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai undang-undang khusus yang mengiktiraf pelarian atau menetapkan status undang-undang mereka.
Pertubuhan hak asasi mempersoalkan ketidakjelasan kerangka DPP, termasuk kriteria penentuan status pelarian, sekiranua pemohon yang ditolak boleh merayu, perlindungan data biometrik serta kemungkinan pemohon suaka berdepan penahanan berpanjangan sepanjang proses pengesahan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/saifuddin12_384255.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.