Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengkritik tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada pemandu teksi di Melaka ketika majlis pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bersih berkata, tindakan itu boleh mengaburkan garis pemisah antara urusan rasmi kerajaan dengan aktiviti kempen parti politik, sekali gus menimbulkan persepsi seolah-olah bantuan berkenaan merupakan sumbangan parti yang bertanding.

Gabungan itu menegaskan, bantuan yang dibiayai menggunakan hasil kerajaan tidak sepatutnya dipromosikan dalam acara kempen politik sehingga berpotensi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah.

"Hasil daripada penjualan nombor pendaftaran khas yang digunakan untuk membiayai bantuan ini merupakan hasil kerajaan yang sewajarnya dimanfaatkan untuk kebajikan semua rakyat.

"Ia bukan dana milik mana-mana parti politik dan tidak sepatutnya diumumkan atau dipromosikan dalam acara kempen bagi memberikan kelebihan kepada parti pemerintah," kata kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu Bersih hari ini.

Bersih turut menegaskan penjelasan bahawa bantuan tersebut diberikan di seluruh negara tidak menjawab persoalan mengapa pemberian bantuan kepada pemandu di Melaka dibangkitkan dalam majlis pengumuman calon PH.

Isnin lalu, pemandu teksi di Melaka menerima sumbangan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 bagi setiap pemandu.

Sumbangan itu merupakan hasil jualan nombor pendaftaran H yang berjaya merekodkan jumlah kutipan secara keseluruhannya RM91.21 juta.

Hasil kutipan itu akan disalurkan untuk inisiatif rakyat seperti Program MyLesen, topi keledar percuma, serta bantuan untuk pemandu teksi dan kereta sewa.

Loke juga berkata bantuan berkenaan sudah diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dan akan disalurkan kepada pemandu teksi, kereta sewa serta bas sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, Pemimpin Bersama, Lee Chean Chung mempersoalkan program cabutan bertuah anjuran Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin yang menawarkan hadiah 10 buah motosikal serta 100 telefon pintar.

Azman bertanding di DUN Paya Rumput pada PRN Melaka yang dijadualkan pada 14 November ini.

"Saya menggesa Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap bakal calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paya Rumput menjelaskan sumber pembiayaan program Minggu Melaka Ceria yang berlangsung dari 19 hingga 25 Oktober lalu, yang menurut bahan promosinya menawarkan 14 buah motosikal dan 100 unit telefon pintar sebagai hadiah cabutan bertuah.

"Berdasarkan anggaran konservatif, walaupun dikira mengikut harga motosikal dan telefon pintar termurah di pasaran, nilai hadiah tersebut sahaja dianggarkan melebihi RM100,000, belum termasuk kos penganjuran, promosi dan logistik," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, had perbelanjaan pilihan raya bagi seseorang calon DUN ialah RM100,000.

Katanya, walaupun tidak semestinya semua perbelanjaan program ini dikategorikan sebagai perbelanjaan pilihan raya, jumlah hadiah yang begitu besar menimbulkan persoalan serius tentang sumber dana dan tujuan sebenar penganjurannya.

Malaysiakini telah menghubung Azman bagi mendapatkan maklum balas berhubung pendakwaan perkara ini.