PARLIMEN l Tindakan sekatan pentadbiran oleh badan pengurusan strata terhadap pemilik yang culas membayar caj penyelenggaraan bukan satu lesen mutlak untuk menghalang sepenuhnya pemilik daripada memasuki unit hak milik mereka sendiri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata prinsip itu ditegaskan menerusi keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 Okt dalam kes SL Land Sdn Bhd dan Foong Wei Ching menentang JMB Sentral Bazar Nilai.

“Mahkamah memutuskan bahawa meskipun pihak pengurusan berhak mengenakan sekatan statutori, sekatan tersebut tidak boleh melangkaui batas sehingga melucutkan hak pemilik untuk mengakses dan menikmati unit miliknya,” menurut jawapan beliau yang dibacakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu kedudukan undang-undang terkini berhubung hak pihak pengurusan untuk mengehadkan akses kemasukan bagi individu ingkar pembayaran yuran penyelenggaraan bagi hartanah strata serta kawasan berpagar dan berpengawal.

Nga menjelaskan dari sudut prinsip perundangan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), pemilikan petak strata membawa tanggungjawab bersama dengan setiap pemilik diwajibkan membayar caj penyenggaraan dan caruman Kumpulan Wang Penjelas, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12, 25 dan 52 akta berkenaan.

Beliau berkata Perenggan 6, Bahagian 2, Jadual Ketiga, Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata 2015 membenarkan badan pengurusan seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) mengambil tindakan pentadbiran selepas tamat tempoh 14 hari notis tunggakan ke atas pemungkir.

Ia termasuk menyahaktifkan peranti akses elektronik, menghendaki pemungkir menandatangani buku daftar pelawat serta menggantung penggunaan fasiliti bersama.

Namun, Nga menegaskan pihak pengurusan wajib menyediakan kaedah akses alternatif yang selamat dan munasabah kepada pemilik terbabit.

Bagi memastikan kemampanan industri strata, beliau berkata KPKT memberi tumpuan kepada pengeluaran panduan standard dan advokasi melalui Jabatan Perumahan Negara dan Pesuruhjaya Bangunan (COB), penggalakan skim ansuran bersasar menerusi rundingan berhemah, serta meneliti semakan semula dan reformasi Akta 757.

“Pendekatan Kerajaan Madani adalah berpaksikan keadilan dan ihsan...kita melindungi hak pemilik untuk mendiami kediaman mereka, namun pada masa yang sama, kita tidak akan berkompromi terhadap tanggungjawab undang-undang demi kelestarian komuniti strata secara keseluruhan,” katanya.

- Bernama