Presiden MCA Wee Ka Siong menolak cabaran Anthony Loke untuk berdebat mengenai trek rekod masing-masing sebagai menteri pengangkutan, dengan menegaskan bahawa dia tidak pernah mempertikaikan prestasi penggantinya itu serta menganggap jemputan berkenaan sekadar percubaan menimbulkan kontroversi yang tidak wujud.

“Apa yang dia cakap ini? Bila masa saya persoalkan trek rekod dia?

“Dia boleh anggap dirinya sebagai 'menteri pengangkutan terbaik di Malaysia, atau di dunia'. Dia boleh berbangga dengan dakwaannya sendiri itu, saya tidak peduli,” katanya kepada Malaysiakini.

Wee Ka Siong, Presiden MCA

Wee berkata demikian ketika membalas kenyataan Loke yang mencabarnya berdebat secara bersemuka mengenai perkhidmatan sepanjang tempoh masing-masing di Kementerian Pengangkutan.

“Kamu nak cabar berdepan? Saya pun boleh berdepan dengan kamu. Apa yang kamu telah buat sebagai Menteri Pengangkutan dan apa yang Anthony Loke buat sebagai menteri pengangkutan?” soal setiausaha agung DAP itu.

Perang mulut itu tercetus selepas Loke menuduh Wee cuba membuli penyandang bagi Bandar Hilir dari DAP, Leng Chau Yen, yang dipercayai mempunyai masalah pertuturan, dengan mencabarnya berdebat.

Wee bagaimanapun menepis tuduhan itu sebagai “mengarut sama sekali” dan mempertahankan bahawa dia tidak pernah mencabar Leng untuk berdebat.

Sebaliknya, dia berkata dia sekadar bersetuju dengan cadangan calon MCA, Jasmine Lok, untuk berdebat bersemuka dengan penyandang berkenaan.

Menurut Wee, Lok mendekatinya kerana mahu mendengar pendirian Leng mengenai zon bebas kenderaan (CFZ) Bandar Hilir, satu isu yang menimbulkan pertikaian di kawasan pilihan raya itu.

“Sebab itu saya setuju dengan cadangan debat tersebut. Ini kerana walaupun penyandang DAP itu menyokong inisiatif berkenaan di Dewan Undangan Negeri, pendiriannya dilihat berubah apabila penduduk mula menyuarakan bantahan.

“Oleh itu, saya berpendapat debat antara mereka berdua bermanfaat untuk rakyat membuat pilihan. Bagaimana ini boleh dianggap membuli?” soalnya.

Jasmine Lok, Calon BN Bandar Hilir

Wee berhujah bahawa isu CFZ bukan sekadar debat akademik, sambil merujuk kepada gangguan trafik akibat inisiatif tersebut yang didakwanya menyumbang kepada penutupan perniagaan di kawasan berkenaan.

Dia berkata penyelesaian isu itu amat penting untuk merancakkan semula peluang ekonomi, khususnya bagi golongan muda yang mungkin terpaksa mencari pekerjaan di tempat lain jika keadaan berterusan.

Presiden MCA itu turut menyatakan bahawa dia tidak tahu Leng mempunyai masalah pertuturan, dan membidas Loke kerana menggambarkan seolah-olah dia akan mempersendakan seseorang disebabkan keadaan sedemikian.

“Saya hanya mengetahuinya selepas membaca komen Loke,” tambahnya.

Leng mewakili Bandar Hilir sejak 2021, selepas berkhidmat selama lapan tahun sebagai setiausaha politik kepada pendahunya, Tey Kok Kiew.

Sementara itu, Lok membuat penampilan sulung dalam pilihan raya selepas terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak 2011 dan berkhidmat sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Melaka Berjarah sejak 2022.