Malaysia putuskan tidak ekstradisi Zakir Naik ke India - Saifuddin
Malaysia tidak menerima permohonan baru daripada India untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Melalui jawapan bertulis parlimen kepada Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), Saifuddin berkata kerajaan menerima permohonan ekstradisi terhadap Zakir pada 19 Januari 2018.
India kemudian menghantar nota diplomatik pada 29 Mei 2020, meminta Malaysia mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak mengekstradisi pendakwah itu.
"Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr. Zakir Naik ke India. Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau.
/file/attachments/orphans/saifuddin12_384255.png)
"Keputusan ini diambil berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang telah ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 dan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992," katanya.
Zakir diberikan status pemastautin tetap Malaysia pada 2015.
Dia berdepan dakwaan pengubahan wang haram di India, yang turut memohon ekstradisinya. Zakir menafikan dakwaan terhadapnya.
Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskannya pula diisytiharkan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang oleh kerajaan India pada 2016.
Pada 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan Malaysia untuk tidak menghantar Zakir ke India.
Mahathir berkata pendakwah itu boleh terus tinggal di Malaysia selagi tidak menimbulkan masalah di negara ini.
Dalam temu bual dengan portal berita India, New Delhi Television (NDTV), yang disiarkan pada 12 Sept lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan isu ekstradisi Zakir dibincangkan secara tertutup dengan wakil India di New Delhi.
Anwar berkata perbincangan itu dirahsiakan bagi melindungi kepentingan kedua-dua negara, sambil menegaskan sebarang tindakan berhubung permintaan ekstradisi perlu mengambil kira prinsip kedaulatan undang-undang dan hubungan dua hala.
Sementara itu, laporan Republic World yang disiarkan pada 21 Okt lalu memetik Zakir berkata dia hanya akan kembali ke India selepas Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi tidak lagi berkuasa.
Dia mendakwa tidak akan mendapat perbicaraan yang adil jika pulang ketika parti itu masih memerintah.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/cdb46e93d0bad38d67a09d0c0afd0546.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.