Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau ada niat mensabotaj Kerajaan MADANI berhubung pendedahan pembatalan atau penangguhan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan fakta berhubung penangguhan atau pembatalan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi projek berkenaan adalah benar, dan beliau sedia mengemukakan bukti dokumen arahan rasmi bagi menyangkal tuduhan itu.

"Saya tidak bermaksud demikian (mensabotaj), tetapi faktanya begitulah ... sama ada ia ditangguh atau dibatalkan, yang jelas semua SST yang telah dan akan dikeluarkan itu diarahkan untuk dibatalkan.

"Saya mempunyai bukti surat arahan yang dikeluarkan.

"Saya boleh tunjukkan kepada Ahli Parlimen Jelutong," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dewan MPJ Alamanda, di Jasin hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer ketika mencelah dalam perbahasan di Dewan Rakyat mempersoalkan kenyataan dibuat Ahmad Zahid berhubung pembatalan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan Rayer sebagai cubaan mensabotaj kerajaan MADANI.

- Bernama