Ab Rauf nafi dakwaan 55 projek bermasalah, dakwa ada diwarisi pentadbiran terdahulu
PRN MELAKA l Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh menafikan dakwaan bahawa 55 projek pembangunan di negeri itu bermasalah, sambil menjelaskan bahawa sebahagian projek terbengkalai diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk Pakatan Harapan (PH).
Menjawab desakan Timbalan Setiausaha Agung PKR G Sivamalar supaya status terkini 55 projek pembangunan negeri yang belum dimulakan setakat Jun tahun lalu didedahkan, Ab Rauf berkata pelaksanaan projek berkenaan sering merentasi beberapa pentadbiran.
“Perjalanan projek ini adalah satu perjalanan yang terlalu panjang, ia diwarisi dari satu ketua menteri (KM) kepada satu ketua menteri termasuk sahabat kita yang pernah menjadi ketua menteri, sahabat sebelah sana (Pakatan Harapan).
“Jadi dia sendiri tahu kalau projek-projek yang dikatakan tergendala ini, ada dua kaedah pertama projek kerajaan negeri dan satu lagi projek kerajaan Persekutuan,” katanya kepada media, selepas melawat Bilik Gerakan Utama BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, di Melaka.
Ab Rauf yang juga ketua menteri sementara berkata projek kerajaan Persekutuan lazimnya diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, manakala projek inisiatif swasta bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat terlibat.
Kenyataan itu menyusul selepas Sivamalar semalam mendesak kerajaan negeri mendedahkan status terkini 55 projek yang menurut laporan Ab Rauf sendiri pada 10 Jun 2025 masih belum dimulakan.
Ketika itu, Ab Rauf memaklumkan bahawa daripada 241 projek pembangunan negeri, sebanyak 86 projek telah siap, 100 sedang dilaksanakan dan 55 lagi belum dimulakan.
Sivamalar juga mempersoalkan berapa banyak daripada 55 projek berkenaan yang kini sudah dimulakan, disiapkan atau masih tertangguh.
Dia turut menuntut senarai lengkap projek terbabit termasuk lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana dan jadual penyiapannya.
Bagaimanapun, Ab Rauf tidak memberikan perkembangan terperinci bagi setiap projek dalam jawapannya seperti dilaporkan.
SF: ‘Tak mahu cari salah orang'
Mengulas lanjut, Ab Rauf mengambil contoh projek Monorel Melaka dan pembangunan tambak laut sebagai antara inisiatif swasta yang diberikan konsesi kepada pelabur.
“Kebanyakan projek terbengkalai di Melaka macam orang kata projek monorail, projek-projek Tambak Laut itu adalah projek private initiative yang telah diberikan konsesi kepada syarikat-syarikat yang nak melabur di Melaka.
“Mungkin mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan setelah melalui beberapa proses kejatuhan ekonomi dunia yang menyebabkan projek itu terbengkalai,” katanya.
Bagaimanapun, Ab Rauf menegaskan dia tidak berhasrat menyalahkan mana-mana pentadbiran terdahulu, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha memulihkan projek bermasalah.
“Saya sudah berjanji tak nak cari salah orang dan kita faham masalah tu berada di mana.
“Mungkin tak ada bajet lagi ke, mungkin tidak dapat diurus dengan baik menyebabkan menjadi projek sakit,” katanya.
Ab Rauf memberi jaminan bahawa usaha memulihkan projek terbengkalai akan diteruskan secara beransur-ansur mengikut keadaan ekonomi semasa sekiranya BN diberikan mandat baharu pada PRN Melaka, 14 Nov ini.
Ab Rauf yang dinamakan sebagai calon ketua menteri BN mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon PH Yunazri Mustamiri.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/umnoAbRaufnominationformelakaelection20261031_405036.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.