Serangan siber terhadap sistem sejuk beku boleh ancam bekalan makanan M'sia?
Pada 11 Okt lalu, satu kejadian luar biasa yang membimbangkan berlaku di 700 pasar raya di Perancis apabila penggodam berjaya menceroboh sistem penyejukan dan mengubah tetapan suhunya.
Sistem yang sepatutnya menyejukkan makanan mudah rosak itu sebaliknya ditetapkan kepada mod nyahbeku pada suhu 50 darjah Celsius. Akibatnya, stok makanan bernilai jutaan euro rosak.
Kurang sebulan kemudian, pasar raya di Itali, Jerman, Romania dan United Kingdom, selain perkhidmatan darah kebangsaan Perancis, Établissement Français du Sang, turut melaporkan kejadian serupa yang membabitkan manipulasi sistem kawalan rantaian sejuk.
Insiden itu menimbulkan kebimbangan mengenai kelemahan infrastruktur harian seperti peti sejuk yang boleh dieksploitasi sehingga menjejaskan keselamatan makanan dan rantaian bekalan. Kesan sama juga boleh dirasai negara lain yang bergantung pada sistem serupa, walaupun terletak beribu-ribu kilometer jauhnya.
Bagi Malaysia, perkembangan itu amat penting memandangkan negara banyak bergantung pada makanan import. Sebahagian besar bekalan berkenaan memerlukan sistem penyejukan dan logistik rantaian sejuk yang berterusan, dari negara pembekal hingga ke peruncit tempatan.
Susulan insiden itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia juga berpotensi menjadi sasaran serangan siber berikutan keupayaan digital negara serta pendiriannya dalam isu antarabangsa tertentu, khususnya Gaza.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/8beee54302028ca4d883a08e31590545.png)
Bagaimanapun, Anwar tidak menggesa rakyat Malaysia membuat persediaan kecemasan. Sebaliknya, dia menegaskan kerajaan sedang memperkukuh kesiapsiagaan dan penyelarasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.
Walaupun tiada petunjuk bahawa ancaman itu akan berlaku dalam masa terdekat, insiden di Eropah menimbulkan persoalan mengenai tahap kelemahan Malaysia terhadap serangan serupa dan kesannya terhadap bekalan makanan negara.
Serangan siber boleh berlaku, tetapi tiada ancaman segera
Pakar yang ditemu bual Malaysiakini berkata serangan siber terhadap sistem rantaian sejuk di Malaysia berkemungkinan berlaku, namun setakat ini tiada bukti menunjukkan serangan sedemikian akan berlaku dalam masa terdekat.
Pakar keselamatan siber, Aaron Ikram Mokhtar dan Murugason R Thangaratnam, bersetuju bahawa Malaysia mempunyai beberapa kelemahan khusus yang boleh mendedahkan rantaian bekalan makanannya kepada serangan siber, walaupun masa sebenar serangan sukar dijangka.
Murugason berkata iklim tropika Malaysia yang panas menyebabkan sistem penyejukan berterusan amat penting bagi memastikan bekalan makanan import kekal dalam keadaan baik.
Data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kebergantungan negara terhadap import bagi daging kambing biri-biri ialah 90.7 peratus, daging lembu 82.6 peratus dan sotong 68 peratus.
Pada masa sama, pengusaha pemprosesan makanan, penyedia logistik dan rangkaian peruncitan utama semakin beralih kepada sistem digital. Mereka juga menyerahkan tugas pemantauan sistem dari jarak jauh kepada penyedia perkhidmatan pihak ketiga.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/3be120c11ff5b67768b55541a184a998.jpg)
Bekas penasihat Kementerian Digital, Vicks Kanagasingam, berkata perkembangan pendigitalan itu, bersama pelaksanaan rangkaian 5G dan rangkaian persendirian perusahaan, menyebabkan teknologi operasi industri semakin terhubung dengan sistem teknologi maklumat korporat.
Keadaan itu membuka lebih banyak ruang akses jarak jauh kepada sistem pemantauan suhu, automasi gudang dan pengurusan penghantaran kenderaan yang sebelum ini kurang terdedah kepada ancaman siber.
"Dalam industri ini, prinsip asasnya mudah: jika sesuatu sistem disambungkan ke internet, ia berpotensi menjadi sasaran serangan.
"Penyerang tidak semestinya menyasarkan Malaysia kerana niat jahat terhadap negara ini. Mereka mencari laluan akses yang terdedah dan mempunyai kapasiti penghantaran data yang tinggi," kata Vicks kepada Malaysiakini.
Aaron pula menekankan risiko akibat langkah keselamatan siber yang tidak mencukupi, khususnya apabila sistem penyejukan dan sistem operasi lain boleh diakses dari jauh melalui penyedia perkhidmatan pihak ketiga.
Kekurangan bekalan makanan secara besar-besaran tidak mungkin
Walaupun semakin banyak sistem terdedah kepada serangan digital, pakar rantaian bekalan berkata rangkaian pengedaran makanan Malaysia mempunyai daya tahan yang agak tinggi.
Keadaan itu menjadikan serangan siber tidak mungkin menyebabkan kekurangan bekalan makanan di seluruh negara.
Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, berkata tahap pendedahan kepada ancaman digital berbeza mengikut peringkat dalam rantaian bekalan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/7b1ff23c893d0115e333c83a472e6ece.png)
Rangkaian pasar raya besar dan pusat logistik moden bergantung pada sistem pengurusan gudang digital. Namun, banyak peruncit kemudahan penyimpanan sejuk berskala kecil masih menggunakan sistem penyejukan konvensional yang dikawal secara manual di premis masing-masing.
Sistem yang tidak berpusat itu boleh membantu mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan secara meluas sekiranya berlaku serangan siber.
"Kita tidak bergantung pada satu kemudahan berpusat sahaja. Jika satu kemudahan tidak dapat beroperasi, perniagaan yang terjejas boleh mengalihkan produk ke gudang alternatif," kata Chin.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, turut berpandangan bahawa saluran peruncitan tradisional seperti pasar basah dan kedai runcit kejiranan menjadi penampan penting bagi memastikan pengguna terus mendapat bekalan makanan harian.
Peniaga tradisional biasanya bergantung pada rantaian bekalan tempatan yang lebih pendek, peti sejuk konvensional atau kotak penyejuk berisi ais. Oleh itu, mereka kurang terdedah kepada manipulasi sistem dari jarak jauh melalui serangan siber.
Mohideen berkata CAP juga tidak menerima sebarang laporan mengenai pengguna yang panik, membeli barangan secara berlebihan atau membuat aduan luar biasa mengenai bekalan makanan sejak insiden serangan di Eropah dilaporkan.
Perkukuh kelemahan keselamatan makanan digital
Walaupun pakar tidak melihat serangan siber sebagai ancaman segera, mereka berkata Malaysia perlu memperkukuh persediaan sebelum berlaku sebarang gangguan.
Langkah itu termasuk menangani kelemahan dalam sistem keselamatan operasi dan penyelarasan ketika kecemasan.
Murugason berkata Malaysia sudah menunjukkan kemajuan menerusi Akta Keselamatan Siber 2024 dan strategi keselamatan siber negara.
Bagaimanapun, pengedaran makanan dan infrastruktur rantaian sejuk tidak disenaraikan secara khusus dalam 11 sektor infrastruktur maklumat kritikal negara.
/file/attachments/orphans/7866777687_275269.png)
Beliau menggesa kerajaan mengenal pasti pengendali utama rantaian sejuk dan kebergantungan mereka terhadap sistem lain.
Kerajaan juga perlu menjelaskan kemudahan serta penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang tertakluk kepada keperluan keselamatan siber, selain memperkenalkan penilaian risiko khusus bagi teknologi operasi dan kewajipan melaporkan insiden.
"Yang paling penting, pematuhan peraturan tidak semestinya menjamin daya tahan. Penilaian yang sudah diselesaikan tidak membuktikan sesebuah kemudahan penyimpanan sejuk mampu memastikan makanan kekal selamat apabila sistem kawalannya gagal," kata Murugason.
Aaron turut menggesa Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan CyberSecurity Malaysia memperkukuh perkongsian maklumat mengenai ancaman serta menetapkan keperluan keselamatan siber yang lebih jelas bagi kemudahan milik swasta dan penyedia perkhidmatan penyejukan pihak ketiga.
Nacsa menyelaras dasar keselamatan siber negara serta tindak balas terhadap ancaman yang membabitkan infrastruktur maklumat kritikal. Sementara itu, CyberSecurity Malaysia menyediakan khidmat teknikal dan kepakaran dalam bidang keselamatan siber.
Dari segi operasi, kedua-dua pakar itu menekankan keperluan mengaudit akses jarak jauh, mengemas kini sistem lama yang terdedah kepada ancaman serta mengasingkan sistem kawalan penyejukan daripada rangkaian teknologi maklumat korporat.
Mereka turut mencadangkan pemantauan suhu secara berasingan, kemudahan kawalan manual dan latihan kecemasan berkala bagi memastikan operasi premis dapat diteruskan sekiranya sistem digital diceroboh.
"Bayangkan industri penerbangan komersial. Apabila sistem kawalan penerbangan automatik bertindak di luar kawalan, juruterbang akan mematikan mod pandu automatik dan menerbangkan pesawat secara manual.
"Pasukan operasi dalam sektor kritikal perlu dilatih mengenai 'daya tahan analog', iaitu keupayaan mengendalikan rantaian bekalan fizikal ketika sistem digital terputus," kata Vicks.
Selain langkah keselamatan siber, Chin berkata kerajaan perlu bekerjasama dengan pemain industri untuk mengenal pasti kemudahan penyimpanan sejuk alternatif, kapasiti simpanan kecemasan dan laluan pengangkutan sokongan.
Perniagaan kecil juga perlu diberikan bantuan kewangan dan teknikal khusus bagi memperkukuh keselamatan siber mereka.
Bagi pengguna, Chin dan Mohideen menggesa rakyat Malaysia supaya tidak panik atau membeli barangan keperluan secara berlebihan susulan insiden di Eropah.
Sebaliknya, setiap isi rumah disaran menyimpan bekalan makanan kecemasan dalam jumlah yang sederhana. Kerajaan pula perlu memberikan maklumat terkini secara telus dan tepat pada masanya sekiranya berlaku gangguan bagi mengelakkan penyebaran khabar angin serta pembelian panik.
"Komunikasi yang jelas mengenai sebarang risiko dan langkah yang diambil untuk menanganinya dapat membantu orang ramai membuat persediaan serta keputusan berdasarkan maklumat yang tepat tanpa menimbulkan ketakutan, pembelian panik atau tindakan menyimpan stok secara berlebihan," kata Mohideen.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/4abe21a91594e0c499f091b2b8322edc.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.