Penasihat DAP, Lim Guan Eng memuji keputusan setiausaha agung parti itu, Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai membantah keputusan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Lim dalam satu kenyataan berkata peletakan jawatan Loke itu membuktikan konsistensi pendirian DAP terhadap Najib, sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun ketika berada dalam kerajaan.

Menurutnya, DAP sejak sekian lama tegas membantah peranan utama Najib dalam skandal 1MDB yang membabitkan RM52 bilion.

“Peletakan jawatan Loke membuktikan konsistensi pendirian DAP, sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun ketika berada dalam kerajaan, yang tetap tegas dan lantang membantah peranan utama Najib dalam skandal 1MDB bernilai RM52 bilion,” katanya.

Lim berkata Loke turut membuktikan komitmennya terhadap prinsip dengan sanggup mengorbankan jawatan serta melepaskan segala kemudahan dan keistimewaan sebagai menteri.

“DAP sentiasa berbeza kerana berpegang teguh pada prinsip memperjuangkan kebenaran dan menolak kemungkaran.

“Loke telah membuktikan dengan jelas bahawa inilah DAP yang sebenar apabila beliau sanggup mengorbankan jawatan demi prinsip, serta melepaskan segala kemudahan dan keistimewaan jawatan demi mempertahankan maruah,” katanya.

Lim turut menyatakan seluruh kepimpinan dan anggota DAP berdiri teguh menyokong Loke susulan keputusan itu.

Loke mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada 19 Sept lalu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP memutuskan tindakan itu sebagai respons parti terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Pengampunan yang diberikan pada 18 Sept membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Pada 29 Sept, Loke mengesahkan dia sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, Anwar memintanya meneruskan tugas buat sementara waktu dan Loke menetapkan peletakan jawatan itu berkuat kuasa sebaik sahaja Najib dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani tahanan rumah.

Pada 6 Nov, Loke sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa dia akan melepaskan jawatan sebaik sahaja Najib tiba di kediamannya.

Keputusan itu menjadi kenyataan pada 10 Nov selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Susulan keputusan mahkamah itu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.