GLOBAL | Dewan Perwakilan AS hari ini menolak resolusi untuk mendakwa Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth bagi tujuan pemecatannya, sekali gus menggagalkan usaha menyingkirkan ketua Pentagon itu berhubung tindakan diambil sepanjang tempoh memegang jawatan serta cara dia mengendalikan perang di Iran, lapor Associated Press (AP).

Pengundian itu berlangsung ketika Parti Republikan berdepan kesan kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal, yang menurut sesetengah anggota parti berpunca daripada perang di Iran dan lonjakan harga petrol susulan konflik berkenaan.

Bagaimanapun, selepas Presiden Donald Trump menyatakan sokongan padu terhadap Hegseth, kebanyakan anggota Parti Republikan di Dewan Perwakilan tetap mempertahankannya dan menolak usaha pemecatan yang diketuai anggota parti itu dari Kentucky, Thomas Massie, dengan sokongan Parti Demokrat.

Keputusan pengundian itu bagaimanapun mungkin hanya menangguhkan usaha untuk mendakwa Hegseth bagi tujuan pemecatan memandangkan Parti Demokrat dijadual mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan dan Senat pada Jan depan.

Ketua Parti Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries, menyokong penuh usaha berkenaan dengan mendakwa Hegseth telah "menyalahgunakan kuasanya" dan "menjejaskan keselamatan AS".

Ketua Parti Demokrat di Senat, Chuck Schumer, turut menyokong usaha pemecatan Hegseth.

Dalam sidang media pertamanya selepas beberapa bulan pada semalam, Hegseth mengecam usaha itu dengan menyifatkan Massie sebagai anggota Kongres yang bertindak bersendirian serta menegaskan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan berat seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan AS sebagai asas pemecatannya.

Dia menyifatkan usaha itu sebagai tindakan yang mempertikaikan anggota tentera AS dan kejayaan mereka, selain mendakwa ia menjejaskan operasi pasukan tentera negara berkenaan ketika ini.

"Ini bukan patriotisme. Ini sabotaj," kata Hegseth.

Resolusi yang dikemukakan Massie mengandungi lapan pertuduhan , dengan tumpuan utama terhadap perang di Iran, selain turut menyentuh peranan Hegseth dalam pelaksanaan operasi ketenteraan di Yaman dan Venezuela.

- Bernama/AP