Ketua Biro Guaman Wanita DAP Sangeet Kaur Deo sekali lagi menggesa kerajaan memberikan maklumat terkini mengenai siasatan SPRM berhubung kapal selam Scorpene.

Tiada perkembangan lanjut dilaporkan sejak SPRM memaklumkan pada 2024 bahawa siasatan berhubung pembelian kapal selam itu pada 2002 masih berjalan. Bagaimanapun, Malaysia dan Perancis menandatangani surat hasrat terbaru pada Selasa bagi menaik taraf kapal selam berkenaan untuk memanjangkan tempoh penggunaannya.

Sangeet berkata, tiada pihak mencadangkan supaya kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibiarkan usang atau mana-mana pihak dianggap bersalah sebelum keputusan mahkamah dibuat.

“Namun, sebelum Malaysia menjalinkan urusan baru dengan syarikat yang sama, kerajaan perlu memastikan apa sebenarnya yang berlaku dalam urusan terdahulu.

“Kerjasama dengan Perancis tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengetepikan kes Scorpene yang masih belum selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sangeet berkata, SPRM perlu menjelaskan perkembangan petunjuk baru yang sedang disiasat pada 2024, termasuk kemungkinan penyelewengan kira-kira RM42 juta yang dikaitkan dengan bayaran di bawah kontrak pembelian kapal selam Scorpene.

Dia turut meminta penjelasan sama ada siasatan itu masih aktif dan, jika sudah dihentikan, apakah sebabnya.

Sementara itu, peguam berkenaan turut mengingatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa dia sendiri pernah mempersoalkan kelewatan siasatan Malaysia pada April 2022, ketika Perancis memulakan siasatan rasmi terhadap pengeluar kapal selam, Thales, berhubung urus niaga Scorpene dengan Malaysia.

“Kes ini sedang dibicarakan di Paris, Perancis. Namun, pihak berkuasa Malaysia dilihat memandang ringan perkara ini,” kata Anwar ketika itu.

Berhubung cadangan perjanjian baru untuk menaik taraf kapal selam berkenaan, Sangeet turut meminta kerajaan menjelaskan proses penelitian sewajarnya yang dilakukan serta langkah pencegahan rasuah yang akan dilaksanakan.

Malaysia memperoleh tiga kapal selam pada 2002, iaitu dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah kapal selam terpakai kelas Agosta daripada DCN International (DNCI), yang sebahagiannya dimiliki Thales.

Ketika itu, Najib Razak merupakan Menteri Pertahanan.

Dakwaan salah laku membabitkan pihak dari Perancis dan Malaysia mula timbul selepas kumpulan hak asasi manusia, Suaram, membuat aduan kepada mahkamah Perancis pada 2009 dan 2010.

Dua syarikat Malaysia, Perimekar Sdn Bhd dan Terasasi Sdn Bhd, didakwa menerima komisen daripada DNCI sebagai sebahagian daripada urus niaga berkenaan.

Pada 2017, Perancis memulakan siasatan rasmi terhadap Abdul Razak Baginda, yang merupakan pembantu Najib ketika urusan pembelian kapal selam itu berlangsung. Bagaimanapun, beberapa aspek siasatan digugurkan pada 2019.

Pada 2022, siasatan terhadap Thales pula dimulakan. Kes berkenaan masih disiasat di Perancis.