Wan Saiful cabar kerajaan dedah minit pengampunan Anwar
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Saiful Wan Jan mencabar kerajaan supaya turut menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memberikan pengampunan penuh kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018.
Cabaran itu menyusuli langkah Putrajaya menggugurkan status rahsia minit mesyuarat lembaga berkenaan pada 18 September lalu, yang memperincikan perbincangan mengenai perintah tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.
Wan Saiful mempertikaikan tindakan kerajaan mendedahkan butiran satu keputusan pengampunan, sedangkan rekod keputusan yang lain masih dirahsiakan.
"Bagaimana pula dengan minit penuh Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-51 pada 16 Mei 2018 yang membawa kepada pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim? Mengapa minit mesyuarat itu tidak turut didedahkan kepada umum?
/file/attachments/orphans/213453454533_244043.png)
"Saya mencadangkan supaya minit penuh mesyuarat tersebut juga dinyahklasifikasikan. Kalau benar kita mahu ketelusan, biarlah semuanya terbuka dan tidak hanya melibatkan satu pihak," katanya.
Wan Saiful berkata jika kerajaan benar-benar serius tentang ketelusan, semua rekod seumpama itu perlu didedahkan kepada umum dan prinsip tersebut tidak sepatutnya dilaksanakan secara terpilih.
Semalam, Malaysiakini melaporkan kerajaan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan pemberian tahanan rumah kepada Najib.
Menurut dokumen itu, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyatakan pandangan dalam mesyuarat berkenaan bahawa tiada asas undang-undang untuk meletakkan Najib di bawah tahanan rumah.
Umno bantah keras
Dia turut memberi amaran bahawa perintah sedemikian akan membawa implikasi besar kepada kerajaan dari segi kestabilan politik, keadaan ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.
Dusuki dalam dokumen yang didedahkan itu juga berkata Najib, yang dirujuk sebagai “banduan” dalam minit berkenaan, perlu menjalani keseluruhan hukuman penjaranya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kemudian menyatakan pandangan senada, sekali gus menegaskan pendiriannya sebelum ini berhubung perkara tersebut.
Bekas ahli parlimen DAP Tony Pua memuat naik salinan dokumen yang dinyahklasifikasikan itu di Facebook semalam, mengundang bantahan keras Umno.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/98a715aed6461f02dc991404c0b887b6.jpg)
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menuduh Pua menghina Yang di-Pertuan Agong dan mempersoalkan sama ada kerajaan mendapat perkenan baginda sebelum menyahklasifikasikan minit tersebut atau tidak.
Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-51 yang memperkenankan pengampunan penuh kepada Anwar.
Selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998, mahkamah mensabitkan Anwar atas empat pertuduhan rasuah berkaitan salah guna kuasa pada 14 April 1999 dan dihukum penjara enam tahun.
Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun bagi kes liwat pertama pada 8 Ogos 2000, sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman itu pada 2 September 2004.
Dalam kes liwat kedua, Anwar didakwa pada 2008 dan dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan pembebasan itu, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman tersebut pada 10 Februari 2015. Dia kemudian menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018.
Yang DSAI tu pengampunan yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, manakala yg DSNR tu pengempunan tahanan rumah yang tidak pernah berlaku & tiada dalam Perlembagaan setakat ini...mcm tu pun tak faham, mcm manalah nak wakili rakyat?
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/5ab4f6ba4d04ebf164276b129362ffc9.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.