MP Baling kongsi kisah 'pahit tapi manis' makan nasi bungkus untuk alas perut
Seorang wakil rakyat dari PN memuat naik gambar dia bersama beberapa yang lain menikmati hidangan nasi bungkus sebagai "pengalas perut" di parlimen.
Menurut Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad, bagi kalangan wakil rakyat blok pembangkang situasi hidup mereka adalah sama saja tidak kira pada waktu hujung bulan - biasanya merujuk kepada waktu mendapat gaji atau elaun - mahupun awal bulan.
Kata Hassan langkah itu diambil sebagai cara untuk mereka berkongsi kesukaran sekali gus "meringankan beban" yang ada.
"Awal atau hujung bulan, sama sahaja buat kami di blok pembangkang.
"Nasi bungkus di parlimen cuma pengalas perut, rezeki pula dikongsi seorang sedikit buat kenduri, asalkan dapat meringankan beban sahabat seperjuangan," katanya di media sosial.
Untuk rekod ahli parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan yang sama seperti blok kerajaan dan ia sudah dibangkitkan beberapa kali di parlimen, malah turut disentuh oleh PH ketika gabungan berkenaan menjadi pembangkang.
Kerajaan pula menegaskan peruntukan untuk kawasan diwakili pembangkang tetap diberikan, cuma ia disalurkan bukan melalui ahli parlimen.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan pihak yang berkenaan perlu berbincang dengan kerajaan sebelum peruntukan tersebut disalurkan.
Menurut Hassan elaun yang diterima pula tidak digunakan untuk keperluan sendiri.
Malah dia mengaitkan apa yang dilakukan itu sebagai sebahagian daripada dugaan "perjuangan" agama yang dipilihnya.
"Elaun yang ada lebih diutamakan untuk rakyat di lapangan.
"Beginilah asam garam perjuangan di atas jalan-Nya; meskipun nampak pahit tetap terasa manisnya," katanya.
Carian mendapati seseorang ahli parlimen mempunyai beberapa kelebihan sama ada dalam bentuk gaji atau elaun.
Misalnya gaji seorang ahli parlimen ialah sebanyak RM16,000 sebulan, manakala elaun bagi kehadiran ialah RM400 sehari. Pada masa sama mereka juga diberikan elaun tetap perjalanan sebanyak RM1,500 sebulan, elaun bahan api (RM1,500 sebulan), elaun tol (RM300 sebulan) dan elaun bil telefon (RM900 sebulan).
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/6545645_637286.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.