Pemilik tanah persendirian tidak dibenarkan bertindak sendirian dengan merobohkan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah mereka bagi mengelak ketegangan antara agama tecetus.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam jawapan bertulis menegaskan tindakan perlu dibuat melalui saluran perundangan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Sebaliknya, pemilik tanah yang berdepan perlu membuat laporan polis, mengemukakan notis kepada pihak yang membina rumah ibadat berkenaan serta memaklumkan perkara tersebut kepada Pejabat Daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Tindakan yang perlu diambil ialah membuat laporan polis dengan segera, menghantar notis kepada pihak yang membina rumah ibadat dan memaklumkan kepada Pejabat Daerah/ PBT," kata KPKT dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

KPKT menjawab soalan dibangkitkan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PAS-Besut) berhubung tindakan KPKT terhadap laporan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.

Berhubung aspek perundangan, KPKT menjelaskan pembinaan semua jenis bangunan termasuk rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang dan perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Perkara itu diperuntukkan menerusi Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang menetapkan tiada individu boleh mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.

Malah, Seksyen 72(1) akta sama memberi kuasa kepada PBT mengeluarkan notis menghentikan pembinaan serta mengarahkan perobohan bangunan yang didirikan bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

Bagi rumah ibadat yang dibina secara tidak sah di atas tanah kerajaan pula, tindakan penguatkuasaan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah menerusi peruntukan Kanun Tanah Negara 1965.

Dalam perkembangan berkaitan, KPKT mendedahkan sebanyak 1,305 aduan diterima PBT sepanjang 2025 hingga 2026 berhubung pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran, termasuk yang terletak berhampiran infrastruktur kritikal seperti hospital dan institusi perubatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 114 aduan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah untuk tindakan lanjut kerana perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa jabatan terbabit.