Bapa pelajar tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Perak mahu siasatan telus dan menyeluruh dilakukan berhubung kejadian itu.

Mohd Idzwan Razali, 48, berkata dia memilih untuk bertenang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi merungkai punca kejadian terbabit.

"(Siasatan) telus dan menyeluruh, itulah harapan saya … mereka (pihak sekolah) dah terangkan, tetapi masih tertakluk pada hasil siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping, di Taiping hari ini.

Mohd Idzwan yang bekerja sendiri berkata dia dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa anak ketiga daripada lima beradik itu oleh pihak polis dan pengetua sekolah, petang semalam.

Dalam pada itu, dia menyifatkan arwah yang memasuki sekolah berasrama itu sejak tingkatan satu sebagai seorang anak yang baik dan menjalani kehidupan persekolahan seperti rakan sebayanya yang lain.

Mohd Idzwan berkata kali terakhir mereka bertemu adalah pada cuti perayaan Deepavali baru-baru ini apabila arwah pulang menaiki bas ke rumah keluarga isterinya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Katanya, mereka juga berbalas mesej melalui aplikasi Telegram mengenai hal keluarga sebelum kejadian berlaku.

Mohd Idzwan yang menetap di Kuala Lumpur berkata jenazah anak lelakinya itu dijangka dikebumikan di Juasseh, Negeri Sembilan sebaik urusan bedah siasat selesai dijalankan, hari ini.

Malam tadi, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang murid tingkatan tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri itu sebelum Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

- Bernama