Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada tekanan antarabangsa dalam usaha menghantar pulang pelarian ke negara asal masing-masing.

Gesaan itu dibuat sehari selepas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan pendaftaran pemohon suaka baharu susulan keputusan Putrajaya mengambil alih urusan berkenaan.

Radzi, yang juga naib presiden Bersatu, turut menolak tindakan di luar jalur hukum (vigilante) terhadap warga asing.

Radzi Jidin

Ditanya mengenai tindakan seumpama itu, khususnya terhadap masyarakat Rohingya, dia berpandangan sesetengah pihak terdorong bertindak sendiri kerana menganggap kerajaan gagal bertindak.

“Apabila konflik berterusan dan dilihat tiada tindakan diambil, tekanan ini boleh mendorong kelompok masyarakat untuk mengambil tindakan sendiri.

“Saya tidak setuju mereka bertindak sendiri, tetapi kerajaan juga kena tunjukkan bahawa mereka serius,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Radzi, penguatkuasaan terletak di bawah tanggungjawab kerajaan dan agensinya. Katanya, tindakan pihak berkuasa boleh meredakan ketegangan di peringkat akar umbi.

‘Kalau tidak mahu kami hantar balik, ambillah mereka’

Radzi berkata Putrajaya perlu menggunakan saluran diplomatik, termasuk Asean, untuk merundingkan penghantaran pulang pelarian. Pada masa sama, dia menggesa Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga.

Katanya, hanya 974 pelarian ditempatkan semula di negara ketiga dalam enam bulan pertama tahun ini.

“Kerajaan tidak perlu takut dengan tekanan dunia kalau hendak menghantar mereka pulang ke negara asal.

“Dunia yang menekan kita ini sepatutnya mengambil mereka yang kita hendak hantar pulang,” katanya.

“Kalau tidak mahu kami hantar balik, ambillah mereka. Jika tidak, kita tidak ada pilihan,” tegasnya.

Radzi merujuk pengalaman Malaysia menguruskan pelarian Vietnam. Katanya, ramai antara mereka ditempatkan semula di negara ketiga, manakala penghantaran pulang mereka yang masih tinggal dirundingkan dengan Vietnam.

UNHCR menghentikan urusan pendaftaran dan dokumentasi di Malaysia semalam. Agensi itu berkata ia akan terus memproses kes penempatan semula dan membantu individu yang memerlukan perlindungan segera.

Radzi turut menggesa Putrajaya mendapatkan akses kepada rekod UNHCR bagi mengenal pasti individu yang sudah berdaftar dan memastikan pendaftaran baharu benar-benar dihentikan.

Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula pada Januari dengan memberi tumpuan kepada individu di depot tahanan imigresen. Menurut KDN, hanya mereka yang sudah berada di Malaysia sebelum 1 Jan 2023 boleh dipertimbangkan untuk menyertai program itu.

Kekurangan rekod biometrik

Terdahulu di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah mengakui kekurangan dokumentasi dan rekod biometrik menimbulkan cabaran kepada pihak berkuasa.

Dia menjawab soalan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada kekurangan itu menyukarkan siasatan polis melibatkan pelarian dan pemohon suaka serta menyukarkan mahkamah mensabitkan mereka yang didakwa.

Shamsul Anuar Nasarah

Memetik angka polis yang pernah dibangkitkan di Dewan Negara, Syed Saddiq berkata 1,072 daripada 1,100 pelarian dan pemohon suaka yang dilaporkan dikaitkan dengan jenayah di Malaysia merupakan etnik Rohingya.

“Cabaran yang disebut oleh Yang Berhormat tadi memang ada,” kata Shamsul, sambil menambah bahawa tindakan kementerian berpandukan undang-undang sedia ada.

Rundingan dengan Myanmar

Pada 29 Sept, Malaysia menghantar pulang 1,476 orang ke Myanmar dalam fasa pertama pengaturan dua hala yang melibatkan 5,000 orang. KDN berkata mereka bersetuju untuk pulang dan kerajaan Myanmar bersetuju menerima mereka.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat pada 6 Okt bahawa tiada etnik Rohingya dalam kumpulan itu. Katanya, penghantaran pulang etnik Rohingya masih dalam perbincangan.

Dua hari kemudian, Anwar bertemu pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing di Putrajaya.

Selepas pertemuan itu, Anwar berkata Myanmar bersedia menerima semula rakyatnya dalam jumlah besar dan menanggung kos penghantaran pulang, tertakluk kepada pengesahan dan rundingan lanjut antara kementerian kedua-dua negara.

Dalam jawapan Parlimen pada Selasa, KDN berkata rundingan dengan Myanmar diteruskan bagi mengesahkan kewarganegaraan, menguruskan dokumen perjalanan dan mendapatkan persetujuan negara itu untuk menerima semula rakyatnya.

Menurut KDN, 12,176 warga Myanmar daripada pelbagai etnik dihantar pulang sejak awal tahun hingga 31 Okt, termasuk kumpulan yang dihantar pulang pada 29 Sept.

Pada September, UNHCR memberi amaran bahawa keadaan di Myanmar masih belum selamat untuk pelarian pulang. Agensi itu berkata sebarang penghantaran pulang mesti dibuat secara sukarela, berdasarkan maklumat yang mencukupi dan dalam keadaan selamat serta bermaruah.