Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui mempertahankan papan tanda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dengan menegaskan saiz tulisan Cina yang lebih besar pada bangunan warisan itu tidak melemahkan bahasa Melayu.

Dia mengulas teguran Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang meminta KLSCAH mengubah papan tandanya supaya tulisan bahasa Melayu lebih diutamakan.

“Bahasa Melayu tidak akan menjadi lemah hanya kerana tulisan Cina lebih besar pada sebuah bangunan warisan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini bersama Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

Mas Ermieyati membangkitkan perkara itu ketika membahaskan peruntukan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di peringkat jawatankuasa pada Selasa.

Dalam perbahasan itu, dia berhujah status warisan tidak dengan sendirinya mengecualikan bangunan berkenaan daripada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan atau Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Dia mahu tulisan bahasa Melayu diberi keutamaan dari segi saiz, kedudukan dan warna, serta menggesa KLSCAH mematuhi peraturan papan tanda pihak berkuasa tempatan.

Chow pula berkata tulisan Cina itu mencerminkan identiti dan sejarah KLSCAH sebagai pertubuhan yang berusia lebih 100 tahun.

“Perpaduan bukan bermaksud semua budaya mesti kelihatan sama. Malaysia dibina atas kepelbagaian bahasa, agama dan juga budaya.

“Identiti budaya sesuatu kaum tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman kepada identiti kebangsaan,” tegasnya.

Ahli Parlimen DAP itu turut mengimbas pertemuan pemimpin Umno dan MCA di dewan berkenaan pada 1952 untuk membincangkan kerjasama politik yang, menurutnya, menjadi antara asas perjuangan kemerdekaan negara.

“Dahulu pemimpin Melayu dan Cina boleh duduk bersama di bangunan ini untuk membincangkan masa depan negara,” katanya.

“Mengapa hari ini kita pula hendaklah mempertikaikan saiz tulisan Cina pada bangunan yang sama?”

Pertikai pengurangan premium tanah

Dalam perbahasan sama, Mas Ermieyati turut mempersoalkan sama ada status warisan secara automatik melayakkan sesebuah institusi dipertimbangkan untuk pengurangan premium tanah atau perkara itu tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa negeri.

Dia juga bertanya sama ada kementerian mempunyai garis panduan bagi memastikan institusi warisan semua kaum mendapat layanan yang adil.

Kerajaan sebelum ini meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran awal kira-kira RM4.67 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menjelaskan pengurangan itu mengambil kira perubahan syarat guna tanah daripada komersial kepada institusi.

Menurut Hannah, perubahan itu bermakna tanah berkenaan tidak lagi boleh dibangunkan untuk projek komersial seperti kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya perlu dikekalkan bagi kegunaan institusi dan pemeliharaan bangunan warisan.

Bangunan dewan itu diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007.

Pengurangan premium tersebut turut dipersoalkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang membangkitkan isu ada penyewa perumahan awam di Kuala Lumpur yang berdepan risiko diusir kerana tunggakan sewa.

Chow hari ini menyokong pengurangan itu dan menggesa kerajaan memperkenalkan dasar bagi membantu institusi warisan semua kaum berdasarkan nilai warisan, status bukan keuntungan dan syarat penggunaan tanah.

“Kita tidak boleh mengenakan premium tanah komersial terhadap sebuah institusi yang diwajibkan memelihara bangunan warisan,” katanya.