Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN akan memberikan kerjasama sekiranya saranan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Pahang dan Perak membawa kebaikan kepada rakyat.

Bagaimanapun, menteri besar Pahang itu tidak menyatakan sama ada dia bersetuju atau tidak dengan saranan berkenaan.

"Apa yang baik untuk rakyat, BN akan beri kerjasama yang sebaiknya," katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pahang Smart City 2026 di Kuantan hari ini.

Wan Rosdy mengulas cadangan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi supaya PRN diadakan di kedua-dua negeri yang masih ditadbir BN bersama Pakatan Harapan (PH).

Saarani nafi bubar DUN Perak

Puad pada 15 Nov lalu mencadangkan pembubaran DUN Pahang dan Perak bagi membolehkan PRN baru diadakan di kedua-dua negeri.

Menurutnya, kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) terbukti berkesan berdasarkan kemenangan besar dalam PRN Melaka Sabtu lalu, selain keputusan PRN Negeri Sembilan dan Johor yang turut menyaksikan kerjasama BN-PN.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dipetik Bernama menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya atau menyebarkan dakwaan kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada PRN.

Saarani berkata dakwaan kononnya dia telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN adalah tidak benar serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pembubaran DUN melibatkan persiapan meliputi pelbagai pihak antaranya polis perlu diletakkan dalam keadaan siap siaga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kena buat persediaan, manakala pejabat-pejabat daerah pula perlu menyusun petugas pilihan raya.

"Malah, ketua-ketua kampung juga akan mula tertanya-tanya sama ada mereka masih memegang jawatan berkenaan atau tidak susulan dakwaan yang tular," katanya.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan beberapa platform media sosial kononnya Saarani menghadap Sultan Nazrin bagi memohon dan mendapat perkenan untuk pembubaran DUN.

Susulan itu, satu laporan dibuat kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan terbabit yang disifatkan sebagai tidak benar dan tidak berasas.

Sebelum ini, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya tidak bercadang mengadakan PRN Perak dan Pahang secara tergesa-gesa hanya berdasarkan kemenangan dalam PRN sebelum ini.

Dia menegaskan sebarang keputusan berhubung pembubaran DUN di kedua-dua negeri tertakluk kepada penilaian menteri besar masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy menyifatkan kemenangan besar BN di Melaka sebagai pilihan rakyat dan merakamkan penghargaan kepada pengundi negeri berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, dia berkata kemenangan itu membuktikan kepercayaan rakyat Melaka kepada BN, yang akan digalas dengan penuh amanah serta tanggungjawab.

"Insya-Allah, amanah ini akan dilaksanakan sebaik mungkin demi memastikan Melaka terus stabil, maju, makmur dan sejahtera.

"Sudah pastinya, terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka atas kepercayaan serta mandat yang diberikan," katanya.