Mahkamah Dunia ICJ putuskan Myanmar lakukan genosid terhadap Rohingya
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, dalam kes yang difailkan Gambia pada 2019.
Keputusan majoriti 9–6 itu dibacakan Presiden ICJ Yuji Iwasawa di The Hague, Belanda, pada 19 November.
“Myanmar telah melakukan genosid terhadap kumpulan Rohingya di utara negeri Rakhine, sekali gus melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid,” katanya seperti dilaporkan AP.
Ini kali pertama ICJ memutuskan sesebuah negara melakukan genosid. Pada 2007, ICJ mendapati Serbia gagal mencegah genosid di Srebrenica, tetapi tidak memutuskan negara itu melakukan genosid terhadap etnik Bosnia.

Panel hakim mahkamah keadilan hari ini mendapati tindakan Myanmar menunjukkan “niat untuk memusnahkan sebahagian besar kumpulan yang dilindungi”, merujuk penduduk Rohingya di utara Rakhine, lapor Reuters.
Mahkamah dilaporkan mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual berleluasa dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak.
Pasukan keselamatan turut menyerang penduduk Rohingya yang cuba melarikan diri ke Bangladesh.
Mahkamah mengarahkan Myanmar membayar pampasan kepada Rohingya atas pelanggaran yang dilakukan, dengan butirannya akan ditentukan kemudian.

Myanmar juga perlu membenarkan “kepulangan yang selamat dan bermaruah ke tempat kediaman mereka” serta penyatuan semula keluarga Rohingya yang terpisah akibat tindakan negara itu, lapor Reuters.
Keputusan ICJ itu muktamad dan tidak boleh dirayu.
Myanmar sebelum ini menafikan melakukan genosid dan mempertahankan operasi tenteranya sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan bersenjata. Operasi itu memaksa lebih 730,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Gambia memfailkan kes berkenaan pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) di bawah PBB.
Pada 23 Januari 2020, ICJ mengarahkan Myanmar mengambil langkah mencegah perbuatan genosid dan memelihara bukti berkaitan kes itu.
Pada 2022, mahkamah menolak bantahan awal Myanmar terhadap bidang kuasanya, sekali gus membolehkan kes berkenaan diteruskan.
Perbicaraan mengenai merit kes berlangsung dari 12 hingga 29 Januari 2026, termasuk keterangan saksi dan seorang pakar.
ICJ mengadili pertikaian antara negara. Prosiding ini menentukan tanggungjawab negara Myanmar di bawah Konvensyen Genosid manakala ICJ tidak mendakwa individu.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.