Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berhubung penggunaan perkataan tidak sesuai dalam pantun ketika sesi penggulungan kementerian terbabit di Dewan Rakyat, semalam.

Namun pada masa sama perdana menteri mengingatkan supaya adab dan disiplin dalam urusan kerajaan sentiasa dipelihara.

Anwar berkata dia memahami suhu politik boleh meningkat khususnya ketika musim PRN sehingga menyebabkan seseorang terlanjur kata ketika berkempen, namun perkara sedemikian tidak boleh dibawa ke dalam urusan rasmi kerajaan.

“… dan kalau selepas ini ada-ada sesiapa yang melanggar kaedah ini, sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan untuk meletakkan jawatan kerana sistem kita tidak boleh berjalan begitu.

“Kalau tidak setuju, boleh dibawa ke dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Hendak tukar keputusan, boleh bawa dalam forum yang tertentu tetapi untuk kes khusus ini, saya ucap terima kasih dan menerima baik semangat yang ditunjukkan baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec 2026 di Shenzhen, China hari ini.

Anwar bersama para pemimpin antarabangsa di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-33 di Shenzhen, China.

Anwar berkata dia berterima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut menegur perkara berkenaan bagi memastikan adab dalam sistem pentadbiran kerajaan dan hubungan sesama anggota jemaah menteri dihormati.

Menurut Anwar, Ahmad telah mengutus surat permohonan maaf secara rasmi dan menerima baik tindakan serta semangat yang ditunjukkan timbalan menteri itu.

“Setelah itu, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menulis kepada saya memohon maaf atas keterlanjuran itu dan saya rasa kita terima baiklah, dengan mengingatkan jangan perkara ini berulang dan apa-apa teguran,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada perdana menteri berhubung penggunaan perkataan tidak sesuai dalam pantun ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat pada 16 Nov lepas.

Menerusi surat rasmi bertarikh 17 Nov itu, Ahmad mengakui pemilihan kata dalam pantun yang dilafazkannya tidak sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

- Bernama