Perwakilan Amanah sebulat suara meluluskan usul menyokong tindakan Badan Peguam Malaysia mencabar perintah tahanan rumah Najib Razak pada Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Shah Alam hari ini.

Usul tergempar yang dibentangkan perwakilan Amanah Johor Fadhli Umar Aminolhuda itu turut mengecam perintah tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri berkenaan.

Perwakilan menyifatkan perintah itu sebagai bercanggah dengan Perlembagaan dan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.

"Tuan-tuan dan puan-puan, tidak lengkap konvensyen Amanah ini berakhir tanpa mengecam tahanan rumah yang diberikan kepada Najib.

"DSN telah pun dibuktikan bersalah bukan di satu mahkamah tapi di tiga peringkat mahkamah.

"Kesnya bukan kecil, kesnya besar malah masih bersambung lagi kes rasuah, kes sakau yang dibuat kleptokrat ini.

"Johor membawa usul ini supaya direkodkan bahawa dalam konvensyen Amanah kita mengecam penahanan rumah DSN," katanya.

"Ini kerana Amanah kekal teguh menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang (rule of law) dan doktrin pengasingan kuasa sebagai prinsip teras agenda reformasi institusi negara," kata Fadhli.

Sabitan yang dirujuk itu membabitkan kes SRC International. Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020, sebelum sabitan dan hukumannya dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun, ahli jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional itu menegaskan usul berkenaan tidak bertujuan menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Fadhli berkata Amanah terus menjunjung kuasa baginda mengurniakan pengampunan kepada individu yang disabitkan kesalahan, namun berpendirian perintah tahanan rumah merupakan perkara berasingan yang “masih belum jelas kedudukannya dari segi undang-undang”.

“Justeru, kita membawa usul ini supaya kita semua dapat menyokong sepenuhnya tindakan semakan kehakiman, yang membolehkan badan kehakiman meneliti dan memutuskan sama ada perintah tahanan rumah yang diberikan kepada Najib bercanggah dengan Perlembagaan dan oleh itu perlu dibatalkan,” katanya.

Usul itu kemudian diluluskan menerusi undian suara, dengan semua pemimpin dan perwakilan Amanah yang hadir berdiri menyatakan sokongan.

Najib mula menjalani baki hukuman kes SRC International di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 10 November lalu, susulan perintah Mahkamah Tinggi. Tahanan rumah itu dijadualkan sehingga 23 Ogos 2028.

Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 10 November bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membolehkan tahanan rumah itu. Badan berkenaan turut memohon pembatalan keputusan tersebut serta penggantungan pelaksanaannya sekiranya kebenaran diberikan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan kebenaran itu dengan hujah keputusan berkaitan kuasa pengampunan Agong tidak boleh diadili di mahkamah. Pada 12 November, mahkamah menetapkan 17 Mac 2027 untuk mendengar permohonan kebenaran berkenaan.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah Najib digugurkan status rahsia bagi membolehkan AGC menyediakan afidavit jawapan terhadap permohonan Badan Peguam.