Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat bagaimana dokumen berkaitan pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak, boleh tersebar kepada pihak luar.

Minit yang tersebar itu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman menerusi tahanan rumah walaupun mendapat bantahan kerajaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata kerajaan tidak mengedarkan dokumen berkenaan, sebaliknya ia berkaitan proses Jabatan Peguam Negara (AGC) menyediakan jawapan bagi prosiding mahkamah.

“Siapa yang mengedarkan itu, saya percaya KDN harus siasat bagaimana boleh perkara ini tersebar awal,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli sebelum itu mempersoalkan mengapa dokumen berkenaan hanya tersebar melalui pihak ketiga dan bukannya diterbitkan secara rasmi oleh kerajaan untuk diakses rakyat.

Ketua Penerangan PAS itu turut mempersoalkan apakah kebocoran berkenaan mencerminkan kelemahan disiplin kerahsiaan dalam kalangan anggota Kabinet sehingga maklumat kerajaan boleh disalurkan kepada pihak luar.

Dia juga membangkitkan penjelasan Anwar sebelum ini bahawa dokumen berkenaan boleh dinyahrahsia jika dicabar di mahkamah, sedangkan Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 tidak menetapkan bahawa sesuatu dokumen perlu dinyahrahsia hanya kerana dicabar melalui prosiding mahkamah.

Menjawab perkara itu, Anwar menjelaskan dokumen yang dikemukakan dalam prosiding mahkamah hanya melibatkan keputusan pengampunan dan bukannya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Katanya, sekiranya minit mesyuarat diminta, keputusan sama ada dokumen itu boleh dinyahrahsia atau tidak tertakluk kepada Peguam Negara dan mahkamah.

“Kalau diminta minit, dia terserah kepada Peguam Negara dan mahkamah untuk memutuskan sama ada minit itu boleh dinyahrahsia atau tidak dalam kes itu,” katanya.

Nafi kerajaan edar

Anwar turut menafikan kerajaan mengedarkan dokumen berkenaan dan menegaskan ia berkaitan tindakan Peguam Negara menyediakan jawapan bagi prosiding mahkamah.

“Tolong jangan buat tohmahan seperti mana tahu kerajaan edarkan, tak ada. Tidak benar kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara mempersiapkan kes jawapan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, PDRM sudah diarah menggerakkan segala sumber yang ada bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat berkenaan.

Dia berkata, Anwar sudah menjelaskan dua perkara utama berhubung isu tersebut di Parlimen.

"Pertama, berhubung keputusan untuk menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang dilakukan bagi membantu Peguam Negara menyediakan afidavit untuk kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Majlis Peguam Malaysia di mahkamah.

"Kedua, perdana menteri minta polis memulakan siasatan sekiranya benar terdapat unsur kebocoran," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Pada 18 Nov lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa minit mesyuarat itu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah, meskipun bertentangan dengan nasihat Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Minit itu turut menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pada mulanya meminta supaya orang lain menandatangani dokumen berkenaan bagi pihaknya, namun akhirnya akur selepas diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bekas ahli parlimen Damansara, Tony Pua, turut memuat naik beberapa imej yang didakwa memaparkan petikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 Sept di Facebook.

Pemimpin Umno kemudian mempersoalkan penyebaran minit berkenaan, dengan mendakwa Pua menghina Yang di-Pertuan Agong serta mencetuskan perdebatan mengenai kuasa prerogatif baginda dalam memberikan pengampunan.

Pada 22 Nov, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan minit mesyuarat itu dinyahrahsia bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyediakan afidavit jawapan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia.

Najib dibenarkan menjalani tahanan rumah dengan syarat melunaskan denda RM50 juta bagi kes SRC International.

Bekas perdana menteri itu membayar denda berkenaan pada 6 Nov dan pulang ke rumah pada 10 Nov untuk menjalani baki hukumannya selepas beberapa hari tertangguh akibat kesilapan dokumentasi.

Najib pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes SRC International. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Hukuman penjara Najib dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.