PM doakan kesihatan A Samad Said
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendoakan kesihatan Sasterawan Negara, A Samad Said yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anwar menyifatkan A Samad yang mesra dengan panggilan Pak Samad, sebagai sosok budayawan amat berjasa dalam dunia kesusasteraan tanah air.
"Saya, Azizah (isteri perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan keluarga mendoakan supaya Allah SWT mengurniakan keafiatan, mengangkat segala kesakitan dan memberikan kesembuhan segera buat Pak Samad.
"Semoga seluruh keluarga besar terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian ini, Insya-Allah," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, ahli PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip memaklumkan A Samad telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur. Dia bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
“Seluruh ahli keluarga DN Dato' Seri memohon jasa baik semua untuk mendoakan kesihatan Dato' Seri. Terima kasih,” katanya ringkas.
A Samad atau nama penuhnya, Abdul Samad Mohamed Said, 91, yang dilahirkan di Melaka adalah Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan itu pada 1985.
Sepanjang pembabitan dalam dunia sastera, A Samad menghasilkan pelbagai karya yang memberi kesan besar kepada perkembangan kesusasteraan Melayu moden.
Antara novel, puisi, drama, dan esei yang berpengaruh, karya agungnya termasuk Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987), dan kumpulan puisi Liar di Api.)
Sebelum menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan kreatif, dia pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di beberapa syarikat akhbar utama seperti Utusan Melayu, Berita Harian, dan The New Straits Times.
Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, Pak Samad juga dikenali kerana penglibatan aktifnya dalam gerakan masyarakat sivil. Dia pernah menjadi pengerusi bersama gabungan Bersih 2.0.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.